Pemerintah Armada Pasifik Amerika Syarikat (AS) Laksamana Scott Swift berkata semalam bahawa beberapa mayat telah dijumpai dan satu daripadanya oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Tentera Laut Diraja Malaysia melaporkan mereka menemukan sesuatu yang berpotensi sebagai mayat. Mereka sedang berusaha mengesahkan dan mengenal pasti mayat berkenaan,” katanya dalam laporan terkini mengenai keadaan di atas kapal USS John S McCain susulan pelanggarannya dengan sebuah kapal dagang di perairan berhampiran.
Swift berkata Tentera Laut AS sedang dalam proses memindahkan mayat itu agar pihaknya boleh memulakan proses pengecaman dan menentukan sama ada mayat berkenaan adalah seorang daripada 10 kelasi kapal pemusnah milik Tentera Laut AS, USS John S McCain, yang terlibat dalam pelanggaran dengan kapal tangki minyak, Alnic MC, pada awal pagi Isnin.
Katanya beberapa mayat juga ditemukan penyelam pasukan Tentera Laut AS di ruang terkedap USS John S McCain dalam operasi mencari semalam.
Beliau bagaimanapun berkata adalah terlalu awal untuk mengatakan tentang jumlah dan status penemuan mayat berkenaan.
Swift enggan mengulas tentang punca pelanggaran itu kerana menurutnya siasatan “masih di peringkat terlalu awal”.
Mengenai kemungkinan ia berpunca daripada serangan siber, Swift berkata tidak terdapat tanda-tanda mengenai perbuatan itu atau gangguan siber, tetapi Tentera Laut AS tidak akan mengetepikan sebarang senario.
Menurut Swif, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga semua ikhtiar untuk mencari kelasi kapal berkenaan menemui penyudahnya.
Sambil berharap ada kelasi kapal itu yang selamat, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan dari Singapura dan Malaysia kerana menyertai usaha SAR.
Sementara itu, dalam laporan terkininya, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), agensi penyelaras SAR itu, berkata usaha pelbagai agensi diterajui Singapura diteruskan hari ini bagi mengesan 10 kelasi yang hilang.
Kata MPA , usaha itu diselaraskan dengan AS, Indonesia, Malaysia dan Australia.
Pihak berkuasa itu berkata, Singapura menerima tawaran bantuan daripada Indonesia pada Selasa untuk melakukan pencarian di utara kawasan pantai Pulau Bintan dan menerima tawaran Malaysia semalam untuk menghantar empat pesawat menyertai usaha mencari di kawasan yang diperluaskan, termasuk di sepanjang kawasan pantai Malaysia.
Indonesia menambah penghantaran asetnya kepada dua pesawat dan tiga kapal, manakala Australia menawarkan aset bersayap tetap untuk menyertai usaha mencari itu.
Tentera Laut AS juga mengerahkan asetnya dari kapal penggempur amfibia USS America serta pasukan penyelam untuk memasuki ruang terkedap yang terletak di bahagian kapal berkenaan yang mengalami kerosakan.
Menurut MPA , kawasan pencarian diperluas hingga meliputi 2,620 km persegi, dengan Singapura dan AS melakukan pencarian di bahagian tengah kawasan mencari yang dikenal pasti, manakala aset Malaysia dan Indonesia meliputi kawasan di utara dan selatan.
Mayat ditemui
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) 10 kelasi kapal pemusnah Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang hilang dalam perlanggaran dengan sebuah kapal dagang di perairan Teluk Ramunia, Johor pagi semalam, menjumpai satu mayat, semalam.
Katanya, mayat berkenaan ditemui pasukan SAR menerusi KD Handalan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3.43 petang.
“Mayat tersebut ditemui KD Handalan di sektor E pada kedudukan empat batu nautika timur Tanjung Penawar dalam perairan Malaysia. Jarak penemuan lokasi mayat adalah 7.5 batu nautika barat laut dari lokasi perlanggaran.
“Mayat tersebut dibawa ke jeti Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM Tanjung Pengelih, Johor dan pihak TLDM sudah mengaturkan penyerahan mayat kepada pihak Amerika Syarikat di KDSI. ” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zulkifili berkata Operasi SAR akan diteruskan meskipun pada sebelah malam.
“Sektor pencarian SAR masih dikekalkan kepada dua sektor utama iaitu laut dan udara yang mana keluasan sektor pencarian laut adalah 352 batu nautika persegi, serta udara seluas 488 batu nautika persegi.
Beliau berkata lebih 500 pegawai dan anggota pelbagai agensi negara terbabit dalam operasi itu.
Selain Maritim Malaysia dan TLDM, operasi turut disertai Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan dibantu dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat iaitu MH 60-Seahawk dan MV 22-Osprey.
Kapal pemusnah USS John S McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia menyebabkan 10 kelasi kapal itu hilang dan lima lagi cedera.
Kejadian berlaku di kedudukan 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia.
- Bernama