Kementerian Luar Wisma Putra mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf kepada Indonesia berhubung kesilapan dalam mencetak bendera negara itu secara terbalik di dalam buku rasmi cenderamata pada pembukaan Sukan SEA ke-29 semalam.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia, Kementerian Luar melahirkan rasa kesal atas kesilapan yang tidak disengajakan yang dilakukan oleh jawatankuasa penganjur Malaysia (MASOC) atas salah penerbitan bendera Indonesia dalam buku cenderamata rasmi itu"
"Juga bagi pihak kerajaan Malaysia, kami memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Republik Indonesia.
"Dalam hal ini, kami berharap dapat meyakinkan kerajaan Republik Indonesia bahawa kesemua langkah-langkah telah diambil bagi mengendalikan keadaan yang malang ini," kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya hari ini
Mengesahkan pertemuan di antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya Imam Nahrawi awal hari ini, Anifah berkata pertemuan itu diadakan untuk menjelaskan "kesilapan yang amat dikesali itu dan menyampaikan permohonan maaf beliau (Khairy) bagi pihak MASOC."
"Malaysia memberi perhatian terhadap hubungan persaudaraan yang rapat dan mendalam dengan Indonesia. Malahan, sambutan ulang tahun ke 60 termeterinya hubungan diplomatik tahun ini merupakan suatu kesempatan yang telah kita laburkan untuk mendedikasikan semula diri kita terhadap nilai, kebudayaan dan masa hadapan kita bersama.
"Dalam semangat ini kami berharap dan percaya bahawa kedua-dua negara kita akan terus berinteraksi dengan rapat dan dalam melakukan hal itu, menguatkan hubungan antara kita di dalam rantau ini secara keseluruhannya," tambah Anifah.
Khairy tadi malam mengeluarkan permohonan maaf kepada Imam berkenaan gambar bendera Indonesia yang dicetak terbalik itu.
Bendera republik itu menampilkan jalur merah di bawah jalur putih. Bagaimanapun gambar bendera dalam susunan terbalik diperkenalkan secara salah sebagai bendera Indonesia di dalam buku cenderamata yang diedarkan semasa acara pembukaan Sukan Sea itu.
Gambar itu muncul bersama-sama bendera kesemua negara-negara Asean lainnya dan tahun-tahun merujuk penganjuran acara sukan itu.