Seorang pemimpin kanan pembangkang hari ini mengingatkan orang Melayu di negara ini agar tidak termakan kenyataan retorik bahawa tanpa kerajaan yang dipimpin oleh Umno, mereka mungkin akan menjadi seperti Melayu di Singapura.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub menegaskan bahawa orang Melayu di Singapura hari ini dapat bertahan tanpa bantuan daripada kerajaan mereka.
“Walaupun satu ketika dulu kita meremehkan orang Melayu Singapura, kita melihat mereka kecil, dengan semangat perkauman yang dikobarkan di tanah air kita, khususnya oleh Biro Tata Negara (BTN) akan mengatakan apa akan jadi esok kalau bertukar, kalau Umno tidak ada, orang Melayu akan jadi seperti Melayu Singapura.
“Bangkitlah semua, ini bukan masanya lagi. Orang Melayu di Singapura hari ini mempunyai dana yang cukup,” katanya yang memetik tabung dana pendidikan untuk orang Melayu di negara itu.
Salahuddin berkata demikian dalam Konvensyen Wanita AMANAH di Mines 2 hari ini.
Di sebalik menjanjikan biasiswa kerajaan untuk belia Melayu, Salahuddin berkata bapa pengasas Singapura, Lee Kwan Yew, sebagai penggubal undang-undang memudahkan sistem untuk pekerja Melayu menyumbang sebahagian daripada gaji mereka untuk masa depan anak-anak.
“Lee Kwan Yew tidak memberikan jaminan untuk memberikan biasiswa kepada anak-anak Melayu. Tetapi Lee Kwan Yew menyediakan kemudahan itu dengan menggunakan akta-akta pekerja yang ada untuk orang Melayu menyumbang sebahagian daripada gaji mereka untuk anak-anak mereka.
“Ini bagaimana Singapura mengajar rakyatnya dengan diberikan pancing bukan diberikan ikan pada setiap kali kita perlu memasak di rumah kita masing masing,” katanya.
Salahuddin turut berkata selama bertahun-tahun orang Melayu di Singapura telah bangkit melalui pelbagai sektor utama dan pentadbiran awam.
Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya juga turut memuji Speaker Singapura Halimah Yacob yang akan bertanding untuk pemilihan Presiden Republik republik itu dan dijangka mencipta sejarah dengan menjadi presiden Melayu kedua negara selepas Yusof Ishak.
“Singapura menghargai dan mengangkat keramat wanita Singapura, yang pertama dia memang layak dan dia memang berkebolehan.
“Wanita yang telah melalui proses dalam dunia politik. Wanita yang punya kehebatan dan mampu membuktikan di mana sahaja dia berada,” katanya.
Salahuddin turut berkata, AMANAH sebagai parti yang kecil dan sedang berkembang juga harus belajar daripada orang Melayu Singapura dengan mengetepikan saiz parti itu dan berusaha sehingga berjaya.