Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menyelak kembali tragedi berdarah Memali
Diterbitkan:  Aug 19, 2017 9:07 AM
Dikemaskini: Aug 24, 2017 11:04 AM

KINIGUIDE | Peristiwa berdarah Memali timbul kembali dalam wacana politik Malaysia selepas 32 tahun.

Ia muncul dalam forum kecoh yang menyaksikan kerusi terbang dan selipar melayang melibatkan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Ogos lalu.

Semuanya bermula apabila persoalan itu dibangkitkan oleh seorang anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang tidak sebulu lagi dengan kepimpinan pergerakan itu.

Bagaimanapun, sebelum itu lagi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi juga membangkitkan perkara itu di Baling, di mana terletak kampung kecil itu.

Malaysiakini membongkar kembali rekod-rekod berkaitan insiden malang itu yang meletus pada 19 November 1985 itu ketika polis cuba memberkas Ibrahim Mahmood dan pengikutnya.

Pemimpin PAS yang meninggal dunia dalam insiden itu lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Antara yang merakam peristiwa itu termasuk buku 'Memali: A Policeman Remembers' oleh OCPD Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim yang diterbitkan pada 2011.

Selain berdasarkan pengalamannya, buku itu turut memetik maklumat daripada seorang pengikut Ibrahim, Yusuf Husin, yang kemudian menjadi senator.

Ia turut memuatkan terjemahan bahasa Inggeris kertas putih yang dibentangkan di parlimen pada tahun 1986.

Tan Sri Musa Hisam dalam autobiografinya 'Frankly Speaking' turut menyoroti isu itu. Beliau ketika itu menjadi timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

Musa, yang bertahun-tahun dipersalahkan terhadap isu itu, mengabadikan satu bab khas berkaitan perkara itu.

Iklim politik

Terdapat permusuhan politik antara Umno dan PAS. Kedua-dua parti itu menjadi rakan dalam Parti Perikatan pada tahun 1972, tetapi berpisah selepas PAS menarik diri daripada BN pada tahun 1977.

Kerjasama Perikatan dijenamakan semula sebagai BN pada tahun 1973.

Susulan Revolusi Iran 1979, golongan konservatif agama dalam PAS menjadi semakin berpengaruh dan persaingan dengan Umno menjadikan nada PAS lebih ekstrem sehingga ada yang menggelarkan anggota Umno sebagai kafir.

Kertas putih kerajaan menyebut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang terkenal dengan "Amanat Hadi" sebagai contoh meningkatnya sikap pelampau ketika itu.

Amanat itu merupakan petikan ucapan yang dibuat pada tahun 1981 dan disebarkan secara meluas dalam kalangan anggota PAS.

Dalam amanat berkenaan, Hadi mendakwa PAS menentang BN dan Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

"Percayalah saudara-saudara sekelian. Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid," ujar amanat berkenaan.

Siapa Ibrahim Libya?

Menurut kertas putih kerajaan, Ibrahim dilahirkan di Kampung Charok Puteh pada 1 Julai 1942, yang terletak berhampiran Kampung Memali.

Beliau bersekolah hingga darjah enam sebelum meneruskan pengajian keagamaan, dan akhirnya memperoleh beberapa ijazah, termasuk diploma dalam bidang dakwah Islamiah dari Ma'ahad Dakwah, Libya. Atas sebab itu, beliau kemudiannya dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Ibrahim kembali ke Malaysia pada tahun 1974, dan ditempatkan di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri sehingga beliau meletak jawatan pada tahun 1976.

Beliau kemudian pulang ke kampung halamannya untuk mengajar di sekolah agama, dan akhirnya mendirikan sekolahnya sendiri, Madrasah Islahiah Diniah di Memali.

Menurut Yusuf dalam buku Memali, penduduk kampung menyayanginya kerana keikhlasannya dalam kebajikan mereka.

“Apabila dia pulang dari Libya, dia berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Dia boleh pergi jauh, tetapi dia memilih untuk pulang ke Memali.

"Dia seorang pendakwah berkarisma, dan memberi inspirasi keagamaan kepada penduduk di Memali. Sebelum dia kembali, penduduk Memali memang kurang berminat dalam agama.

“Ibrahim Libya dan sekumpulan pengikutnya - termasuk saya - memulihkan sekolah agama di Memali," katanya.

Kenapa kerajaan buru Ibrahim?

Kertas putih kerajaan menggambarkan Ibrahim sebagai penceramah lantang yang menyemai "sikap pelampau" di kalangan ahli dan penyokong PAS.

Antara lain, dia dikatakan berkata dalam satu ceramah pada 12 Jun 1984 di Kuala Nerang, Kedah: "Menentang sesiapa sahaja dengan pedang walaupun adik, abang, pak cik atau datuk nenek kita sendiri dan jangan kita campuri mereka kerana mereka itu adalah murtad.

"Jangan bercampur gaul dengan orang-orang Umno yang telah kafir. Sembelihan mereka, masakan mereka adalah haram. Jangan kita hadiri kenduri mereka".

Kertas itu merujuk kepada kuliah-kuliah Ibrahim sebagai penyebab meningkatnya permusuhan terhadap kakitangan kerajaan di sekitar Memali, dan pulau memulau di kalangan penduduk Memali dan bahkan di dalam PAS sendiri.

Laporan itu juga menuduh Ibrahim merancang untuk mencetuskan satu konflik dengan merancang untuk membawa keluar beberapa ahli PAS yang menjalani perintah tahanan dan yang dikenakan perintah sekatan dan kemudian membawa mereka ke satu majlis ceramah dengan tujuan supaya pihak polis mengambil tindakan ke atas mereka yang berkenaan. Dia dan penyokongnya dikatakan meminta pengikut PAS lain untuk menyokong rancangan itu.

"Mereka percaya dengan adanya tindakan pihak polis itu, satu pertempuran dapat dicetuskan di antara polis dengan ahli-ahli PAS," kata laporan itu.

Selain itu, laporan itu mengatakan bahawa Ibrahim telah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dalam dua mesyuarat pada awal bulan April 1985, di mana kumpulan Gerakan Revolusi Islam ditubuhkan dengan Ibrahim sebagai presidennya.

Menceritakan dalam buku biografinya, Musa berkata jenama Islam Ibrahim membimbangkan dan pengaruhnya mesti dibendung dan oleh itu, satu siri operasi polis dilancarkan untuk cuba menangkapnya secara aman di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penangkapan tertangguh

Percubaan pertama untuk menangkap Ibrahim dibuat kira-kira 2.45 pagi pada 2 September 1984, di rumahnya di Memali.

Menurut laporan Tunku Muszaffar, mesyuarat mengenai serbuan itu berlangsung di ibu pejabat polis daerah Sungai Petani. Pasukan Cawangan Khas (SB) ditugaskan menangkap seorang sasaran di Sungai Petani, manakala satu lagi pasukan cawangan itu bersedia di Memali untuk menangkap Ibrahim.

Kedua-dua tangkapan itu sepatutnya berlaku serentak pada awal 2 September 1984, ketika kedua-dua suspek menghantar anak-anak ke sekolah. Tunku Muszaffar memberi sokongan kepada pasukan SB Baling.

Bagaimanapun, terdapat dua kesan terhadap rancangan itu.

Tunku Muszaffar menceritakan bahawa Musa memberikan arahan supaya tiada kekerasan digunakan terhadap kedua-dua suspek.

Jika berlaku penentangan, pihak polis perlu berundur bagi mengelakkan pertumpahan darah.

"Saya tak percaya apa yang saya dapat tahu. Ibrahim Mahmood mempunyai senapang patah dan dapat menggunakannya untuk menentang pasukan yang mahu menangkap. Sekiranya dia berbuat demikian, anak buah saya tidak dapat mempertahankan diri, " kata Tunku Muszaffar.

Muszaffar juga dilihat sangat kritikal terhadap pihak atasannya di Bukit Aman yang mengikut arahan kementerian, dengan mengatakan arahan 'sukar dan tidak munasabah' serta tidak selari dengan prosedur polis sepatutnya ditolak dengan tegas.

Sementara itu, pasukan SB Sungai Petani menangkap sasaran mereka pada hari yang sama dengan mesyuarat itu.

Ia mendorong polis cuba menangkap Ibrahim di rumahnya lebih cepat daripada yang dirancang, yang menyebabkan terdapat risiko usaha itu dihidu lebih awal dan Ibrahim cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, apabila polis tiba, Ibrahim tidak menyahut apabila polis memanggilnya, walaupun kesan langkahnya kedengaran dari dalam rumah

Tunku Muszaffar berkata, kemudiannya siren dibunyikan dan dalam lingkungan 20 hingga 30 orang menghampiri anggota polis dengan bersenjatakan buluh runcing dan senjata lain.

Anggota polis berundur dan mematuhi arahan Musa.

Ketegangan memuncak

Menurut Yusuf, Ibrahim kemudian bersembunyi susulan percubaan penangkapan tersebut. Bagaimana pengikutnya bertekad untuk membawanya pulang dan menawarkan diri untuk menjaganya.

"Keadaan ini tidak masuk akal. Kita mempunyai guru agama berkelayakan, tetapi kami tidak mendapat manfaat daripada ajarannya.

“Jadi kami membawanya pulang ke Memali dan mengawalnya sendiri," katanya.

Tunku Muszaffar berkata, semasa percubaan terakhir untuk menangkap Ibrahim, penduduk kampung menggali parit dan membina halangan di sekitar rumahnya. Pengawal juga bersiap-sedia, dan senjata termasuk senjata api dikumpulkan.

Menurut kertas putih kerajaan, penangguhan tangkapan oleh polis kemudiannya disalahertikan oleh penduduk kampung yang menganggapnya sebagai satu kelemahan dan mereka semakin angkuh, bertindak kasar dan bertambah berani mencabar kewibawaan pihak berkuasa.

"Sejak itu, anggota polis yang menjalankan tugas mengawal keamanan di sekitar kawasan Kampung Memali seringkali dihina, dikeji dan dicabar oleh pengikut-pengikutnya,” laporan tersebut dipetik.

Ia menyebut, senjata yang dikumpulkan di rumah Ibrahim termasuk pedang, parang, lastik, buluh runcing, jamung, dan senapang panah, bom petrol dan bom ikan. Di samping itu, senapang patah diperoleh daripada anggota Pertubuhan Sukarela Rakyat Malaysia (Rela).

Buku Memali juga memaparkan kejadian pada malam 20 Oktober 1985, yang sekumpulan lebih 10 anggota polis, termasuk Tunku Muszaffar, dikepung dan hampir dibunuh oleh kumpulan bersenjata di sebuah acara PAS di madrasah Ibrahim.

Tunku Muszaffar berkata orang ramai - bersenjatakan buluh, parang, pisau, dan kayu yang tajam - berang kerana polis sebelum itu telah merampas dua bilah senjata daripada sebuah van yang menuju ke tempat kejadian.

Keadaan tenteram seketika apabila Yusuf - yang ketika itu anggota jawatankuasa PAS Baling - campur tangan dan menenangkan orang ramai serta meyakinkan mereka untuk menjadikan polis sebagai tebusan. Mereka dibebaskan selepas Tunku Muszaffar memulangkan dua senjata yang dirampas. Menurut Tunku Muszaffar ini dilakukan di bawah tekanan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS