Tiga individu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membuat kenyataan jelik yang menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di laman Facebook.
Penjual roti canai, Mazlan Yusoff, 48, didakwa memuat naik posting menggunakan nama profil Zain Al Aznam dalam satu catatan yang dibuat oleh "Dr Hassan Ali" yang kritikal terhadap keadaan kewangan negara.
Mazlan menaikkan gambar Najib yang telah diubah-suai dengan tajuk "Mao Hu Tang" di sebelah gambar pemimpin China Mao Zedong.
Mazlan didakwa membuat posting itu pada kira-kira jam 2.53 pagi, 11 November 2016.
Sementara itu, Nor Sabariah Abdul Kadir, 29, didakwa menghantar komen yang jelik di laman Facebook "Otai Bersih" pada kira-kira jam 5.11 petang, 1 Februari, di mana dia didakwa melabelkan PM sebagai pencuri.
Tertuduh ketiga, peniaga, Ng Thai Quen, 19, ditahan atas tuduhan menyunting dan menghina gambar Najib dan isterinya, datin Seri Rosmah Mansor dan memuat naiknya di laman Facebook bernama "Kami Benci Najib" pada kira-kira pukul 7 malam, 15 Disember tahun lalu.
Nor Sabariah diwakili peguam Farida Mohammad manakala dua yang lain itu tidak diwakili.
Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana sengaja membuat atau memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan denda maksimum RM50,000, atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
DPP Mohd Sophian Zakaria meminta masing-masing diikat jamin berjumlah RM5,000.
Hakim Zainal L Salleh kemudian membenarkan ikat jamin RM3,000 setiap satu dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan.