Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut disengat kira-kira 30 ekor tebuan berhampiran rumahnya di Kampung Lay Out Tok Has dekat Jertih di Besut.
Mangsa, Puteri Nur Aisya Azahar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira 4.30 pagi semalam setelah diserang serangga berkenaan pada jam 12.45 tengah hari semalam.
Ibu mangsa, Rubiyah Ismail, 45, memberitahu bahawa anaknya diserang tebuan ketika sedang bermain seorang diri berhampiran sebuah kedai makan yang sudah tidak beroperasi berhampiran rumahnya.
“Jeritan anak saya yang kesakitan disengat tebuan telah menyedarkan ayah saya (datuk mangsa) yang sedang berbaring di atas tangga rumah saya,” katanya kepada pemberita semalam.
Katanya, ayahnya Ismail Mat Ali, 69, kemudian pergi mendapatkan mangsa yang ketika itu dikerumuni tebuan-tebuan berkenaan dan membawanya lari ke atas rumah.
Rubiyah berkata tindakan ayahnya itu menyebabkan warga emas itu turut disengat kira-kira 10 ekor tebuan sebelum segera mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut.
“Anak saya kemudiannya dirujuk ke HSNZ namun pada malam semalam keadaannya semakin tenat apabila doktor memberitahu dia tidak boleh membuang air kecil dan sistem buah pinggangnya tidak berfungsi lagi sebelum meninggal dunia”, katanya.
Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Akar selepas waktu zohor semalam.
- Bernama