Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mengapa Isa jadi pilihan PM?'
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 10:27 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Pada hari kedua Tan Sri Isa Samad berada dalam tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PAS hari ini mengajukan soalan: mengapa beliau yang menjadi pilihan perdana menteri untuk diletakkan di Felda?

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata turut menjadi tanda tanya ialah, mengapa Isa terlalu lewat dikeluarkan dari Felda.

"Selepas diketepikan daripada Felda, mengapa pula Isa dilantik untuk menerajui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas penahanan bekas menteri besar Negeri Sembilan dan naib presiden Umno itu oleh SPRM kelmarin.

Isa ditahan untuk membantu siasatan agensi antirasuah berkenaan berhubung pembelian sebuah hotel mewah di London oleh Felda Investment Corp (FIC) pada 2013.

Kata Tuan Ibrahim memang masih awal untuk membuat sebarang kesimpulan daripada penahanan reman Isa buat masa ini, namun ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah Felda.

Pak Lah menang bergaya

"Penahanan Isa bukan petanda Felda sudah selamat. Jika ada wang yang diseleweng, ia telah pun diselewengkan.

"Apakah langkah untuk memulihkan Felda dan Felda Global Venture (FGV) yang pincang pada era Isa dan Datuk Seri Najib Razak?" katanya.

Kata Tuan Ibrahim, perkara itu yang perlu dituntut oleh peneroka Felda dan bukan berpuas hati terhadap tindakan semasa ke atas Isa yang dianggap masih jauh untuk diketahui penamatnya.

Menurut beliau keputusan Najib melantik Isa - yang pernah dibuktikan bersalah atas amalan politik wang dalam Umno - mengetuai Felda dan FGV menjejaskan masa depan peneroka Felda.

Timbalan presiden PAS yang menjalankan tugas presiden itu kemudian mengingatkan kes tuduhan rasuah yang dikenakan ke atas bekas menteri kabinet suatu ketika dulu.

Katanya, penahanan dan pendakwaan Tan Sri Kasitah Gaddam memberi tanggapan bahawa kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi berbeza daripada perdana menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi itu dihadapkan ke mahkamah pada 12 Februari 2004. Beliau kemudian dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2009.

"Kurang tiga minggu selepas itu, parlimen tiba-tiba dibubarkan dan pilihan raya umum ke-11 diadakan. Abdullah menang bergaya.

"Lima tahun selepas itu Kasitah dibebaskan daripada tuduhan rasuah. Berapa ramai rakyat yang terasa diperdayakan?" katanya.

Mengenai penahanan Isa, Tuan Ibrahim berkata, sejarah itu berulang sekali lagi dan ia menandakan pilihan raya umum sudah kian hampir.

"Melihat Isa, susah bagi rakyat dan peneroka Felda untuk tidak mengingati kes Kasitah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS