Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim minta maaf kekalkan kilang haram warisan era BN
Diterbitkan:  Aug 15, 2017 10:32 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, memohon maaf sekiranya struktur kilang haram yang diwarisi sejak zaman pemerintahan BN banyak menyusahkan rakyat negeri itu.

Katanya kerajaan negeri tidak menafikan wujud kesan negatif serta masalah kepada orang ramai apabila semua struktur yang ada sejak sebelum 2008 dikekalkan.

Tarikh 2008 dirujuk Lim itu ialah tempoh permulaan kerajaan Pakatan Rakyat mula mentadbir Pulau Pinang selepas BN diketepikan melalui pilihan raya umum ke-12.

"Saya juga meminta maaf kepada pihak penjaja-penjaja dan pemilik-pemilik (bangunan) yang tidak berpuas hati apabila tindakan perobohan dijalankan.

"Tapi memang kita terpaksa melaksanakan dasar kerajaan negeri (itu) yang dibuat secara konsisten," katanya kepada media di George Town hari ini.

Kenyataan Lim itu dibuat ketika isu kilang tanpa lesen menjadi panas dan salah seorang exco kerajaan negeri ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Phee Boon Poh (gambar) yang bertanggungjawab bagi portfolio kebajikan, masyarakat penyayang dan alam sekitar ditahan ekoran siasatan SPRM terhadap sebuah kilang penapis karbon di Sungai Lembu, Seberang Prai Tengah yang didirikan tanpa lesen pada 2007.

Bagaimanapun Phee berjaya mendapat kebenaran mahkamah bagi membatalkan reman yang diberikan kepada SPRM semalam selepas dia mencabarnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Lim berkata kerajaan negeri membuat keputusan supaya struktur dan penjaja haram yang diwarisi daripada kerajaan BN sejak 8 Mac 2008 tidak akan dirobohkan seweneng-wenengnya.

Roboh kena, tak roboh pun kena

"Sebaliknya kita akan cari penyelesaian termasuk melalui program pemutihan supaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik.

"Semua struktur yang diwaris daripada kerajaan BN dulu akan dikekalkan dan tidak akan diroboh seweneng-wenengnya, termasuk penjaja haram.

"Mereka tertakluk kepada dua syarat, iaittu tidak mengganggu kepentingan orang awam dan menghalang laluan trafik," katanya.

Tambah beliau, ada pihak yang bertanya kenapa sesetengah bangunan dirobohkan tetapi sesetengahnya tidak.

Namun katanya pihak terbabit enggan menyebut secara jelas bahawa bangunan itu dibina sebelum atau selepas 2008.

"Kerajaan negeri tidak mengamalkan diskriminasi. Kita hanya melaksanakan dasar yang ditetapkan.

"Itu sebabnya bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf sekiranya ada masalah yang timbul kepada pihak yang terjejas," katanya.

Lim yang juga anggota dewan undangan negeri Air Putih menjelaskan, semasa Pulau Pinang ditadbir BN mereka juga tidak merobohkan semua kilang tanpa lesen itu.

Bagaimanapun, katanya, BN mengkritik kerajaan negeri apabila dasar sama dilaksanakan ketika ini.

"Kita selalu tersepit di tengah-tengah. Apabila kita robohkan (kilang haram), kita dikritik BN. Tak robohkan pun, masih dikritik BN.

"Jadi kita nak pencerahan daripada BN, apakah pendirian sebenar mereka?" kata Lim yang juga anggota parlimen Bagan itu.

Sementara itu, Oriental Daily melaporkan anak pemilik kilang penapisan karbon yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, berkata ayahnya merancang untuk menutup kilang itu.

Menurut Gan, bapanya yang berusia 70 tahun itu sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk kilangnya disahkan namun gagal mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Kami memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan ini, terutama kerana ayah saya sudah tua dan tekanan perasaan seperti ini (ditangkap dan diletakkan di bawah perhatian negara) tidak baik untuknya," katanya dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS