Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ukraine nafi bekal enjin roket untuk Korea Utara

Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara (NSDC) Ukraine, semalam menafikan laporan sebuah akhbar asing kononnya syarikat aeroangkasa milik negara itu membekalkan enjin roket untuk Korea Utara.

"Ukraine tidak pernah membekalkan enjin roket atau sebarang teknologi peluru berpandu ke Korea Utara," kata ketua NSDC Oleksandr Turchynov.

Turchynov berkata, maklumat yang disebarkan media berkenaan, tanpa alasan kukuh dan kandungan laporan mempunyai unsur provokatif, lapor agensi berita China Xinhua.

Terdahulu, The New York Times melaporkan syarikat Yuzhmash "kemungkinan besar" adalah pembekal enjin peluru berpandu balistik Korea Utara yang dilancarkan Julai lepas.

Yuzhmash yang beribu pejabat di Dnipro, Ukraine, mengeluarkan pesawat angkasa, pelancar dan enjin roket serta lain-lain peralatan.

Menurut laman web Yuzhmash, syarikat itu menjalankan urus niaga dengan syarikat asing di 23 negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS