ULASAN Isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dianggap media antarabangsa sebagai skandal rompakan terdasyat kurun ini kerana ia melibatkan puluhan ribu juta ringgit dana rakyat Malaysia.
Sejak dua tahun yang lalu, pelbagai insiden mengejutkan telah berlaku berkait dengan 1MDB sama ada di dalam atau di luar negara.
Rakyat sedar terhadap kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah.
Masakan tidak, satu dunia sudah tahu individu-individu bernama Jho Low, Riza Aziz dan lain-lain telah membeli, memiliki dan menghadiahkan hartanah mewah, kapal layar mewah, lukisan mewah, jet mewah, berlian permata dan lain-lain. Semuanya didakwa aliran dananya daripada 1MDB.
Kaedah pindah hutang secara kreatif itu dijenamakan sebagai pelan rasionalisasi 1MDB. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing dengan harapan hutang terbayar itu tidak ubah seperti satu langkah penyelamat mega atau “mega bailout”.
Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kaedah ini berteraskan kepada harapan bahawa dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB dan pembangunan di tanah-tanah milik kerajaan itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh kerajaan suatu ketika nanti.
Sambil itu, hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya dipindahkan kepada pembeli baru.
Contohnya, pertama - penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China. Kedua, penjualan tanah-tanah di Pengkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.
Ketiga, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibupejabat baru di Tun Razak Exchange.
Aset-aset negara dijual kepada tabung-tabung dana rakyat begini pada harga yang berkali ganda mahalnya atau dipindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibupejabat yang baru.
Kambus lubang hutang
Satu lagi contoh ialah pemindahan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat. Sebahagian wang dari 1MDB ke SRC International inilah yang didakwa masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia umpama rompakan wang rakyat di siang hari dengan menjual harta-harta rakyat untuk kambus lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindahmilik kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, kerajaan mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti kesihatan dan pendidikan.
Selain itu rakyat juga sedar berkenaan laporan skandal 1MDB yang telah dibuat di beberapa buah negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Luxembourg.
Malah mahkamah di Singapura dan Switzerland telah mendenda dan memenjarakan pegawai bank yang terlibat dalam pergerakan wang yang dikatakan daripada 1MDB.
Baru-baru ini seorang bekas perancang harta tanah BSI Singapura, Yeo Jiawei, telah dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan dakwaan menipu berkaitan 1MDB.
Siasatan DOJ
Sebagaimana kita tahu, Amerika Syarikat melalui Jabatan Keadilannya (DOJ) pula telah membuat permohonan saman awam sebanyak tiga kali untuk membekukan dan menyita aset mewah dan wang yang dilarikan daripada 1MDB.
Dalam permohonannya, DOJ mendakwa di antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion daripada 1MDB diselewengkan kepada beberapa pegawai tinggi 1MDB dan rakan mereka.
Bahkan, baru-baru ini mereka telah memulakan siasatan jenayah terhadap dana yang dilarikan daripada 1MDB. Atas sebab itu, DOJ memohon menggantung permohonan rampasan harta supaya tidak menjejaskan siasatan jenayah berkenaan.
Walau bagaimanapun, masih terdapat pihak yang percaya bahawa isu 1MDB bukan isu kleptokrasi (perompak wang rakyat) kerana peguam negara telah memutuskan tiada kesalahan dalam urusniaga 1MDB dan apa-apa kes pendakwaan berlaku di luar negara, bukan di Malaysia.
Mereka juga menganggap tindakan permohonan saman sitaan DoJ telah tidak ke mana dan beku selama-lamanya. Kalau pun ada siasatan jenayah, kata mereka, DOJ belum menfailnya dan dana yang digelapkan bukan secara langsung daripada 1MDB.
Malah, ada yang berpuashati dengan penjelasan oleh 1MDB baru-baru ini khususnya berkait pelan rasionalisasinya dan menganggap 1MDB telah menjadi mangsa drama politik.
Rakyat bijak menilai
Saya percaya rakyat sendiri bijak menilai mana jauhari, mana manikam. Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno BN mungkin beranggapan rakyat akan lupa atau termakan dengan umpan pelan rasionalisasi namun hakikatnya kemungkaran dan kepincangan itu sukar disembunyikan kalau sudah melimpah ruah.
Dalam rencana saya pada 12 April 2016, saya telah memetik beberapa perkara penting daripada Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau Parliament Accounts Committee (PAC) pengauditan 1MDB.
Antaranya yang menarik ialah kenyataan Datuk Seri Najib pada Ogos 2015 menyatakan hutang 1MDB akan berkurangan dalam masa lima bulan adalah tidak benar, malah hutang 1MDB telah bertambah kepada RM50 bilion pada Januari 2016.
Juga Datuk Seri Najib memberikan gambaran mengelirukan bahawa hutang 1MDB akan selesai segera sedangkan sebenarnya hutang 1MDB akan hanya selesai sepenuhnya pada tahun 2039 berdasarkan pelan rasionalisasi 1MDB.
Di samping itu, kerajaan melalui Datuk Ahmad Maslan pada tahun 2015 pernah menafikan kerajaan menjamin hutang 1MDB. Terbukti itu tidak benar kerana akhirnya sehingga bulan Oktober 2015, pendedahan risiko kerajaan sekiranya 1MDB gagal melunaskan pinjaman, dianggarkan berjumlah RM20.31 bilion, tidak termasuk bayaran faedah.
Ini ternyata benar sekarang apabila kerajaan parti pemerintah gagal untuk membayar hutangnya berjumlah AS$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion) kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) pada tempoh yang ditetapkan.
Ini pula hanya sebahagian daripada hutang penuh AS$1.2 bilion 1MDB kepada IPIC. Sebahagian lagi berjumlah yang sama, AS$603 juga perlu dijelaskan pada 31 Disember 2017.
Berpandukan di atas, jelaslah ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan 1MDB. Lebih-lebih lagi 1MDB pernah menyatakan bahawa ia mempunyai unit pelaburan (investment units) yang berada dalam simpanan di bank di Singapura yang boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutangnya.
Kenapa tidak digunakan unit pelaburan itu untuk membayar hutang kepada IPIC? Atau apakah unit pelaburan itu hanya satu penipuan?
Isu skandal 1MDB sangat relevan kerana ia mengesani kesejahteraan kehidupan rakyat akibat pengurusan dan tatakelola yang pincang lagi menyeleweng.
Hutang 1MDB yang berlipat kali ganda dan kadar faedah yang tinggi mungkin pada mulanya tidak menggugat dana rakyat namun apabila terseleweng dan dicari ganti daripada tabung-tabung rakyat maka sudah tentu ada kesannya.
Ia turut memberi kesan kepada perbelanjaan untuk kemudahan rakyat di mana bajet untuk pendidikan dan kesihatan dipotong.
Ditambah pula dengan pengenaan cukai GST, kenaikan harga barang yang mendadak, pendapatan yang rendah dan peluang pekerjaan yang kurang maka derita rakyat bertimpa-timpa.
Cukuplah dengan pelan melindungi perompak. Bila nak lindungi rakyat?
SYED IBRAHIM SYED NOH Ketua Penerangan PKR
Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.