Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akhirnya mengecam kumpulan pelampau neo-Nazi dan Ku Klux Klan (KKK) sebagai penjenayah dan samseng.
Kenyataan itu dibuat berikutan tekanan politik yang semakin meningkat selepas perhimpunan pelampau kulit putih bertukar menjadi ganas di Charlottesville, Virginia pada Sabtu lalu.
Trump dikritik oleh banyak pihak kerana menunggu terlalu lama untuk menangani insiden keganasan itu.
Malah, beberapa senator dari Parti Republikan turut mengeluarkan kata-kata pedas terhadapnya.
Presiden Amerika Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata beliau mengutuk semua bentuk keganasan dan kebencian perkauman termasuk pelampau kulit putih, KKK, neo-Nazi dan semua kumpulan pelampau, lapor Reuters.
"Perkauman adalah jahat dan mereka yang menyebabkan keganasan atas namanya ialah penjenayah dan samseng, termasuk KKK, neo-Nazi, pelampau kulit putih dan kumpulan kebencian lain yang menjijikkan bagi rakyat Amerika yang dikasihi," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di Rumah Putih pada Isnin.
Dalam kejadian berkenaan, seorang wanita maut manakala lebih 19 cedera apabila sebuah kereta merempuh orang ramai susulan satu perhimpunan anggota Ku Klux Klan dan anggota pelampau kulit putih lain.
Pentadbiran Rumah Putih berkata kenyataan awal Trump yang tidak menyebut kumpulan pelampau kulit putih, sebenarnya telah mengambil kira golongan berkenaan.
