Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menggambarkan kekecohan di forum Nothing To Hide 2.0 semalam sebagai pertelingkahan antara penyokong pembangkang, bukannya disebabkan provokasi pihak tertentu seperti didakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
"Hakikatnya ialah penyokong pembangkang yang hadir kecewa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang gagal menjawab soalan-soalan mengenai skandal semasa pemerintahannya, seperti pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes Memali.
"Forum Nothing To Hide 2.0 sudah menjadi forum 'everything to hide’ (semua nak disembunyikan)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Sariffuddin berkata demikian bagi mengulas kekecohan semasa forum anjuran Pemuda BERSATU (ARMADA) di Shah Alam semalam.
Kekecohan berlaku ketika Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU menjawab beberapa soalan peserta.
Bekas presiden Umno itu cuba diserang menggunakan selipar, bangku dan botol minuman ketika menyampaikan penjelasannya.
Penganjur mendakwa kekecohan itu berpunca daripada pihak tertentu yang ada kaitan dengan Umno, namun parti terbabit menafikan hal itu.
Ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa pihak yang mula-mula mencetuskan kekecohan itu diberikan baju pergerakan berkenaan untuk menyelinap ke majlis yang mereka anjurkan untuk mencederakan Dr Mahathir.
Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Lim Kit Siang (DAP) menuduh Umno mendalangi serangan tersebut.
Tengku Sariffuddin berkata BERSATU "bertanggungjawab penuh" untuk program itu.
Alih perhatian ramai
Justeru, katanya, menyalahkan kekecohan itu kepada Umno hanyalah cubaan pembangkang untuk menutup tindakan mengaibkan anggota parti sendiri.
Tuduhan liar Azmin dan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Tengku Sariffuddin, dengan menyalahkan Umno adalah bohong, semberono dan tidak betul.
"Seperti yang diketahui semua orang - dan jelas di majlis itu - pembangkang sangat berpecah-belah.
"Apa lagi yang boleh diharapkan daripada gabungan yang dibentuk hanya untuk kepentingan politik oleh musuh-musuh yang berseteru selama berdekad-dekad," katanya.
Tengku Sariffuddin juga mendakwa tuduhan mengaitkan Umno itu dibuat bagi mengalih perhatian orang ramai daripada masalah dalaman BERSATU.
"Jika menguruskan forum sendiri supaya aman pun HARAPAN tak mampu, bayangkan apa yang mereka boleh lakukan pada Malaysia.
"Jelas ia adalah malapetaka untuk negara jika pembangkang yang diketuai DAP itu mendapat kuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya.