Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Umno Sungai Besar mendakwa mempunyai bukti bahawa insiden keganasan dalam Nothing to Hide 2 di Shah Alam semalam dirancang daripada awal.

"Kita telah tahu awal, lepas sejam Mahathir berucap (dalam forum Nothing To Hide 2.0) akan berlaku kekecohan dan kekecohan itu akan diletakkan di kepala Umno.

"Ini telah pun dirancang dan saya dapat maklumat awal mengenainya dan rancangan ini telah dirancang oleh majlis pimpinan tertinggi parti bunga ini," dakwa Jamal dalam sidang media di Ampang, hari ini.

Jamal bagaimanapun tidak mendedahkan “bukti sahih” yang didakwanya itu kepada pihak media dan hanya mahu berkongsinya dengan pasukan keselamatan sahaja.

Acara anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menyaksikan insiden keganasan sehingga menyaksikan kerusi terbang, suar dibakar dan objek dibaling, termasuk ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia bermula selepas seorang peserta membangkitkan persoalan berkaitan peristiwa berdarah Memali lebih 30 tahun lepas antara penduduk kampung di Baling, Kedah dan anggota keselamatan.

Acara itu bertujuan mempertemukan Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu pentas. Najib bagaimanapun tidak melayan perkara itu.

Jamal yang juga pemimpin kumpulan Baju Merah berkata menerima mesej awal yang didakwanya memaklumkan akan berlaku huru-hara.

"Saya juga terima mesej WhatsApp daripada kumpulan mereka untuk buat huru-hara.

"Memang perkara ini dilakukan mereka sendiri setelah orang ramai tak puas hati jawapan Dr Mahathir dan selepas itu menuduh kononnya dilakukan oleh Umno.

"Kita ada bukti dan akan membuat laporan polis dalam masa dua atau tiga hari ini," tegas Jamal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS