Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Najib bukannya nabi tak boleh ditegur
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 4:30 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Datuk Seri Najib Razak bukan seorang yang maksum, apatah lagi nabi.

Beliau, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa, boleh boleh ditegur, malah kerajaan juga bersikap terbuka dengan kritikan.

Katanya kerajaan yang ada kini bukan sebuah kerajaan yang sempurna.

Bagaimanapun, anggota parlimen Ketereh itu mengingatkan, walaupun rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan, mereka perlu memikirkan soal asas dan dasar negara serta tidak mengikut emosi ketika ingin memberi mandat pada pilihan raya nanti.

Ia, katanya, bertujuan bagi memastikan negara tidak tergadai kepada satu gabungan yang rapuh iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Umno dan BN bukan kerajaan yang sempurna. Jadi kalau ada salah, boleh saja ditegur. Perdana Menteri kita pun bukan maksum, bukan nabi, boleh saja ditegur.

"Tetapi dalam soal mandat, itu perkara besar dan kita tak boleh ikut sentimen emosi apatah lagi sentimen perkauman," katanya dipetik melalui sebuah video yang dimuat naik di portal Umno Online.

Kenyataan itu dibuat ketika kritikan terhada perdana menteri dan presiden Umno itu semakin giat dilakukan HARAPAN. Malah seorang daripada pengkritik tegas Najib ialah bekas perdana menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tak jelas dasarnya

Kerajaan masih mempunyai mandat mentadbir negara sehingga pertengahan ketiga tahun depan dan pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos 2018.

Bagaimanapun sesetengah pemerhati berpendapat Najib mungkin akan membubarkan parlimen lebih awal untuk membolehkan PRU ke-14 diadakan tahun ini.

Menurut Annuar rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan negara ini dipimpin "gabungan rapuh" pembangkang seperti HARAPAN.

"Sangat berbahaya kepada negara dan bangsa," katanya.

Sehubungan itu, Annuar (gambar) berkata Umno akan menggiatkan lagi siri jelajah bertemu masyarakat bagi memberi penjelasan tentang roh dan semangat perjuangan Umno.

Ini kerana, menurutnya, apabila parti sering memfokuskan perkara berkaitan isu-isu tertentu, soal dasar parti akan tertinggal dan dilupakan.

"Saya cadang jentera penerangan Umno perlu ditingkatkan lagi, dilipatgandakan selepas selesai semua urusan persidangan perwakilan.

"Saya bercadang untuk mengadakan jelajah bertemu, hatta kepada kelompok yang kecil untuk bercakap tentang roh dan semangat perjuangan parti," katanya.

Annuar berkata pemimpin Umno tidak boleh asyik bercakap tentang isu semata-mata sehingga mengabaikan persoalan dasar.

"Kita mesti menggalakkan rakyat dan masyarakat memikirkan soal asas yang kukuh. Kita boleh marah pada kerajaan, kita boleh tegur kerajaan tapi apabila sampai masa nak beri mandat dalam pilihan raya, kita mesti kembali memikirkan soal asas," katanya.

Justeru, Annuar berkata, sekiranya soal asas tidak diterapkan kepada masyarakat, beliau bimbang negara ini mungkin tergadai kepada pakatan yang masih belum diketahui dasarnya.

"Satu pakatan yang tak ketentuan apa dasarnya, siapa ketuanya, dari segi apa dasarnya? Kita tak boleh menggadaikan nasib sebuah bangsa, satu negara dengan memberi mandat pada pakatan yang rapuh begitu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS