Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan dua lagi dibebaskan dari perintah tahahan reman selama lima hari berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed mengketepikan perintah tahanan reman yang dikeluarkan oleh penolong pendaftar mahkamah majistret Georgetown yang dibuat Sabtu lalu.
Pendakwa raya DPP Ahmad Ghazali Muhammad Nadzri mewakili SPRM.
Setelah dibebaskan, Phee mengucapkan terima kasih kepada peguam dan penyokongnya yang tampil sepanjang pengalaman pahitnya.
"Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat, kita mesti berdiri bersama kerana ini adalah masa paling gelap di Malaysia"
Bercakap di luar mahkamah, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata dasar kerajaan negeri mengenai perniagaan dan struktur atau bangunan haram akan kekal.
Katanya, dasar kerajaan negeri adalah untuk mencari penyelesaian ‘menang-menang’ untuk masalah itu dan bukannya mengharamkan perniagaan atau semata-mata merobohkan kilang atau bangunan.
"Kami tunggu penjelasan daripada SPRM. Jika suruhanjaya itu boleh campur tangan dalam dasar negeri, ini bukan sahaja memberi kesan kepada Pulau Pinang tetapi negeri-negeri lain juga," kata Lim kepada pemberita.
Sebelum itu, Phee ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini kelihatan menitiskan air mata.
Dengan memakai baju tahanan SPRM yang berwarna jingga, Phee sempat berjumpa dengan ahli keluarganya dan dipeluk oleh pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum dibawa ke mahkamah.
Penyokong DAP memberitahu Malaysiakini bahawa Phee kelihatan "letih dan emosi".
Sekumpulan penyokongmembawa sepanduk di luar bangunan mahkamah sebagai menunjukkan sokongan mereka kepada Phee, yang bertanggungjawap mengendalikan portfolio persekitaran, kebajikan dan masyarakat penyayang.
Peguam Phee, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh berkata perintah reman selama lima hari terhadap Phee bukan sesuatu yang lazim kerana ia dikeluarkan oleh penolong pendaftar Ameera Mastura Khamis tanpa mendengar hujah anak guam mereka.
Jumaat lalu, Phee ditangkap kerana didakwa menulis surat yang menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tidak bertindak terhadap sebuah kilang penapis karbon di Bukit Mertajam yang beroperasi secara tidak sah.
SPRM menyerbu kilang berkenaan, pejabat MPSP dan Phee di Komtar, pusat khidmatnya di Sungai Puyu dan rumahnya di Butterworth serta merampas dokumen yang berkaitan dengan kes itu.