Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian: Kes murid terlibat salah laku buli terkawal
Diterbitkan:  Aug 10, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Sistem Sahsiah Diri Murid menunjukkan peratusan murid yang terlibat dalam salah laku buli adalah terkawal bagi tempoh 2012 hingga tahun lepas, kata Kementerian Pendidikan.

Rekod sistem itu menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang melakukan salah laku buli pada 2012 dan 2013 adalah 0.08 peratus, turun kepada 0.06 peratus pada 2014 dan 2015, serta 0.07 peratus pada tahun lepas.

"Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 0.02 peratus terlibat dalam gejala itu," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang ingin tahu statistik lima tahun terkini kes buli melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta langkah kementerian dalam memerangi gejala tersebut.

Kementerian itu berkata faktor keluarga, individu yang menjadi pembuli, pengaruh media, sekolah dan persekitaran dikenal pasti sebagai penyumbang kepada gejala tersebut.

Kementerian memandang serius dan mengambil beberapa langkah proaktif dalam membendung gejala buli melibatkan murid sekolah termasuk menjalinkan kerjasama dengan agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia melalui Program Remaja Berwawasan.

Selain itu, usaha pemulihan dan bimbingan kepada mangsa buli juga dilaksanakan melalui guru bimbingan dan kaunseling sekolah dengan kerjasama ibu bapa dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Dalam satu lagi jawapan bertulis, kementerian itu berkata terdapat 402 buah sekolah di seluruh negara yang dikategorikan sebagai sekolah yang mempunyai masalah disiplin dan memerlukan perhatian khusus pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 311 buah sekolah mempunyai isu disiplin dan 91 lagi dikategorikan sebagai 'hot spot', kata kementerian itu.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS