Mungkin ia satu daripada ucapan selamat paling bermakna buat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Meraikan hari lahir ke-70 hari ini, Anwar menerima ucapan daripada bekas mentornya yang sempat menjadi musuh ketat selama beberapa tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Melalui rakaman selama kira-kira lapan saat itu, Dr Mahathir - yang ketika itu berada dalam lif yang sesak - berkata: Selamat hari jadi Anwar. I hope you will [....] many returns for the day."
Rakaman itu diserahkan kepada Malaysiakini oleh seorang pembantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Terdahulu Dr Mahathir menghadiri mesyuarat - dan mengadakan sidang media - bersama pemimpin utama parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan di parlimen pagi tadi.
Sebelum itu Anwar yang pernah menjadi timbalan perdana menteri semasa era pentadbiran Dr Mahathir disambut penyokongnya dengan kek serta kain pemidang ketika beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Anwar berada di situ untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman fitnah anaknya, Nurul Izzah Anwar, terhadap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab membawa Anwar - ketika itu menjadi tokoh lantang terhadap kerajaan - menyertai Umno pada 1982.
Selama bertahun-tahun kedua-dua mereka mempunyai hubungan istimewa dan sangat akrab sehinggalah timbul isu salah laku dan tuduhan liwat yang dikaitkan dengan Anwar.
Beliau kemudian dipecat daripada jawatannya atas tuduhan salah laku.
Hubungan mereka kekal tegang dan keruh selama hampir 20 tahun.
Bagaimanapun, perkembangan semasa politik yang menyaksikan isu 1MDB disuarakan pelbagai pihak dari dalam dan luar kerajaan akhirnya membawa kedua-dua tokoh terbabit kembali seiringan.
Dr Mahathir dan Anwar juga bersemuka untuk kali pertama sejak 1998 apabila kedua-duanya berada di mahkamah pada 5 September tahun lalu.