Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai episod-episod yang berlaku semasa 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.
Antaranya pelaburan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan skandal Perwaja Steel.
"Tidakkah Tun (Mahathir) ingat pelaburan berisiko BMF di Hong Kong? Tidakkah Tun ingat kerugian Maminco dalam mengawal harga timah? Tidakkah Tun ingat kerugian ditanggung oleh Perwaja Steel, tidakkah Tun ingat skandal forex?
"Apa yang berlaku kepada semua firma dan pelaburan ini? Jika Tun ingat perkara ini, adakah dia juga akan berasa malu?" Soal Salleh dalam tulisan di blognya pagi ini.
Salleh mengulas tulisan di blog Mahathir baru-baru ini yang mendakwa perasaan malu kini sudah tidak ada lagi di kalangan ramai anggota kerajaan.
Kata Mahathir, dunia menggelar mereka sebagai pencuri, perasuah dan penyangak.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai serius, Salleh berkata Mahathir memberi gambaran bahawa pentadbirannya tidak pernah tercemar daripada sebarang skandal.
Menteri itu kemudiannya menyenaraikan satu siri buku mengenai pentadbiran Mahathir.
"Baca buku oleh Khoo Boo Teik, 'Paradoxes of Mahathirism: Biografi Intelektual Mahathir Mohamad' (1995) dan John Hilley, 'Malaysia: Mahathirism, Hegemony and New Opposition' (2001). Juga baca buku oleh DK Mauzy, GP Means, Harold Crouch, William Case, KS Jomo dan ET Gomez.
"Kajian mereka boleh diringkaskan seperti ini - Tun mentadbir dengan prinsip Machiavellian, serta mengamalkan kronisme dan nepotisme," katanya.
Dalam catatan itu, Salleh mengingatkan Mahathir mengenai pepatah Melayu "bagai ketam menguruh anaknya berjalan dengan betul".