Selepas mendengar penjelasan 1MDB, PAS hari ini menyatakan rasa puas hati dengan pelan rasionalisasi dilakukan syarikat terbabit ketika isu pembayaran hutang yang ditanggung agensi milik kerajaan itu masih menjadi tanda tanya.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata partinya berharap isu seumpama itu perlu dipantau parlimen.
"Maknanya, Kementerian Kewangan dan menteri perlu memberi laporan kepada parlimen supaya anggota parlimen dapat mengikuti setiap perkembangan dan tidak timbul masalah baru," katanya.
Terdahulu Tuan Ibrahim mengetuai delegasi PAS bertemu pengurusan tertinggi 1MDB termasuk ketua pegawai eskekutifnya Arul Kanda Kandasamy.
Turut hadir Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan setiausaha agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan.
Kata Tuan Ibrahim PAS penjelasan yang diberi Arul Kanda memberikan penerangan mengenai kemelut yang dihadapi 1MDB, terutama berkaitan pelan rasionalisasi yang dicadangkan.
"Hasil perbincangan tersebut kami dapati apabila aset diserahkan kepada MOF Inc, kita perlu pantau isu-isu yang timbul daripada aset-aset tersebut sebab apabila ia diambil alih oleh kementerian, PAS bimbang akan mencetuskan masalah baru kalau tidak dikawal.
Perkembangan hari ini dipercayai langkah pertama pegawai 1MDB bertemu dengan pemimpin pembangkang dalam mesyuarat rasmi, di luar daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).