Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan majlis angkat sumpah Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara malam tadi sebagai "titik hitam" dalam sejarah kehakiman dan perlembagaan Malaysia.
"Pelantikan ini (Md Raus dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden Mahkamah Rayuan) menonjolkan sikap Datuk Seri Najib Razak yang langsung tidak menghiraukan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita ini.
"Tindakan Datuk Seri Najib ini hanya mementingkan diri sendiri dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa pada ketika Malaysia dibelenggu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara, yang mana DS Najib sendiri terbabit," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan terbaru Najib itu, tembahnya, terus menjadi bukti bahawa selagi Najib dan BN berkuasa, selagi itu nama baik negara dan kebajikan rakyat berada di dalam bahaya.
Tegasnya, pelantikan Md Raus dan Zulkefli diteruskan oleh Najib walaupun menerima bantahan pelbagai pihak.
"Paling jelas, Perlembagaan Persekutuan negara ini dengan terang tidak membenarkan pelantikan ini," tambahnya.
Pada hari Khamis, Badan Peguam Malaysia telah meluluskan usul di mesyuarat agung luar biasanya di mana ia memutuskan bahawa pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan bahawa lanjutan mereka memegang jawatan Ketua Hakim Negeri dan presiden Mahkamah Rayuan, melepasi had usia 66 tahun dan enam bulan, adalah tidak berperlembagaan.
Anwar berkata ketetapan yang diluluskan mesyuarah agung luar biasa Badan Peguam itu, membuktikan ia cukup prihatin terhadap pelantikan tersebut.
"Saya mengucapkan tahniah kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan yang telah mengambil pendirian yang cukup kuat dan berprinsip menentang pelantikan yang melanggar Perlembagaan ini, apabila mereka menyembahkan warkah berkenaan hal ini kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," tambah Anwar.
Pakatan Harapan juga telah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, kepada Mahkamah Persekutuan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) bulan lepas mengumumkan bahawa dengan pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan, mereka akan mengekalkan jawatan masing-masing untuk tempoh tiga dan dua tahun lagi.
PMO berkata pelantikan Md Raus dan Zulkefli adalah berdasarkan kepada cadangan ketua hakim ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac.
Bagaimanapun, pengkritik juga mempersoalkan sama ada Arifin mempunyai kuasa untuk mencadangkan hakim tambahan untuk tempoh yang telah melepasi masa persaraannya.