Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Negara Kebajikan ala British tiada roh Islam
Diterbitkan:  Aug 4, 2017 6:56 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Negara Kebajikan yang diperkenalkan sejak zaman British tidak menepati konsep 'Negara Berkebajikan' dalam Islam yang lebih luas dan menyeluruh.

"Betapa pentadbiran British berkonsepkan Negara Kebajikan (Welfare State) terpengaruh dengan Islam, tetapi mereka tidak menganut agama Islam (Konsep Negara Berkebajikan) yang lebih luas dan menyeluruh.

"Di mana konsep ‘Welfare State’ tiada roh dan wawasan akhirat," katanya dalam satu catatan disiar di laman web PAS.Org.

Menurut Abdul Hadi, ketika awal kemerdekaan, kerajaan meneruskan konsep Negara Kebajikan apabila melaksanakan rawatan perubatan dan pendidikan percuma.

"Kerajaan hanya mengurus perkara kepentingan umum seperti bekalan air, tenaga eletrik, jalan raya, Telekom dan Pos. Selepas itu dicipta pula Teori Pandang ke Timur, kemudian ke Barat dan sekali sekala ke Timur pula.

"Saya tidak ingin mengambil masa untuk mengulas lebih panjang kerana telah disaksikan oleh umum, betapa mukadimah dan kesudahannya pada hari ini," katanya.

'Hidayah dan jibayah'

Abdul Hadi turut memetik kenyataan ulama terkenal, Abu Hasan Ali Al-Nadawi R.A bahawa terdapat dua pendekatan dalam mentadbir negara iaitu sama ada menggunakan konsep "hidayah" atau konsep "jibayah".

"Konsep hidayah berdasarkan keimanan kepada janji berkat bersama Islam, lalu dilaksanakan dengan berani mengikut batas sempadan halal dan haram, dengan tegas dan istiqamah percaya kepada janji Allah.

"Konsep jibayah pula melaksanakan Islam secara terpilih mengikut akalnya, terus bergayut kepada kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja atau kiblat yang dihadap sehingga melanggar batas halal dan haram," katanya.

Konsep Negara Berkebajikan sendiri mula dipopularkan oleh PAS ketika parti itu dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketika Pilihan Raya Umum 2008, PAS melancarkan manifesto pilihan rayanya dengan tema 'Menuju Negara Berkebajikan'.

Agenda itu diteruskan apabila PAS mengemukakan dokumen Negara Berkebajikan pada 2011 ketika masih bersama Pakatan Rakyat.

Pada waktu itu Abdul Hadi berkata Negara Berkekebajikan berbeza dengan Negara Kebajikan.

Dalam Negara Kebajikan, katanya, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan, tetapi rakyat masih dibebani dengan cukai yang tinggi, bayaran tol lebuh raya dan bayaran-bayaran lain.

Sebaliknya, Negara Berkebajikan pula mampu menangani keperluan asas rakyat tanpa membebankan golongan miskin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS