Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peguam Perancis sahkan Razak Baginda didakwa pada 18 Julai'

Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon telah mengesahkan bahawa Abdul Razak Baginda telah didakwa (indicted) di Paris atas dakwaan sogokan berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Bourdon, peguam yang mengendalikan kes Scorpene di Paris, berkata laporan berita mengenai Abdul Razak, rakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini didakwa di Perancis, adalah tidak mengelirukan.

Katanya, beliau boleh mengesahkan bahawa Abdul Razak telah didakwa pada 18 Julai kerana didakwa terlibat dalam rasuah aktif dan pasif, dan recel d'abus de biens sociaux.

Perkataan Perancis itu diterjemahkan kepada "penyalahgunaan aset korporat" dalam bahasa Inggeris.

"Ini (dakwaan pada 18 Julai) adalah satu langkah penting bagi kes kami," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Bourdon mewakili NGO hak asasi manusia Suaram ketika mereka memfailkan kes itu di Perancis pada 2009.

Ditanya sama ada Abdul Razak perlu hadir di mahkamah Perancis untuk menghadapi pertuduhan, Bourdon berkata: "Dia harus memberi respons terhadap penghakiman 11 muka surat hakim".

Mengenai bila ia akan berlaku, Bourdon enggan memberi komen, dengan mengatakan bahawa dia perlu menunggu maklumat yang tepat, yang akan diperolehnya dari para hakim selepas cuti musim panas.

"Inkuiri bukan satu dakwaan"

Pada hari Selasa, agensi berita Perancis AFP melaporkan bahawa Abdul Razak telah didakwa di Perancis tetapi ini segera dipertikaikan Abdul Razak yang berkata laporan itu "mengelirukan," sambil menambah bahawa perkara itu masih dalam peringkat penyiasatan.

"Istilah 'didakwa' dalam konteks siasatan bermakna meletakkan individu tersebut di bawah 'penyiasatan rasmi'.

"Proses perundangan Perancis adalah berbeza dari proses perundangan Malaysia. Dalam proses perundangan Malaysia seseorang yang disyaki melakukan jenayah disiasat dan jika ada bukti yang mencukupi, orang itu dihadapkan ke mahkamah undang-undang," kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pembelian dua kapal selam kelas Scorpene Malaysia dari DCNS Perancis, sekitar harga satu bilion euro, telah ditandatangani pada Jun 2002. Pada masa itu, Najib adalah menteri pertahanan.

Pembelian kapal selam kini menjadi subjek penyiasatan oleh pihak berkuasa Perancis berhubung dakwaan bayaran sogokan.

Setakat ini, empat orang warga Perancis dan Abdul Razak dilapor dalam siasatan.

Sementara itu, bekas pengarah Suaram Cynthia Gabriel berkata beliau juga menerima pengesahan dari Bourdon bahawa Abdul Razak memang didakwa pada 18 Julai.

Pejabat Bourdon akan mendapatkan penghakiman 11 muka surat dari majistret Roger le Loire sebaik saja ia kembali dari cuti musim panas, tambahnya.

"Majistret yang menyiasat mempunyai kuasa untuk mendakwa dalam sistem perundangan dua tahap Perancis," kata Gabriel, yang kini menjadi pengarah Pusat Pemantauan Rasuah untuk memerangi korupsi dan kronisme (C4).

"Jadi tidak sepatutnya ada kekeliruanberhubung pendakwaan Abdul Razak," kata Gabriel.


[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS