Sebuah mural memaparkan pelukis kartun politik Zunar di George Town, Pulau Pinang yang menggambarkan dirinya cuba dihalang berkarya telah dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali.
Artis yang memaparkan karyanya di sebuah lorong bersebelahan Hin Bus Art Depot di Lebuh Gurdwara di George Town, yang hanya ingin dikenali sebagai Bibicun, berkata beliau tidak melihatnya sebagai dirosakkan, tetapi sekadar satu tindak balas.
“Tidak kira siapa yang bertindak balas terhadapnya.
"Lukisan itu adalah tindak balas terhadap penindasan ke atas pameran Zunar di Penang Literary Festival tahun lalu.
“Saya terkejut mereka (penyokong Umno) mengambil masa begitu lama untuk bertindak balas,” katanya.
Karikatur yang kelihatan seperti Zunar yang tidak bertangan dengan mulutnya ditampal dengan bendera Umno kemudiannya diconteng oleh individu yang tidak dikenali.
Sebagai tindak balas seni terhadap karya yang rosak itu, Bibicun membuat pengubah-suaian dengan menambah seorang tokoh hitam memakai topi keledar dengan logo Umno memeluk Zunar dari belakang.
Mengulas kejadian itu, Zunar berkata terdapat perasaan takut mengenai kartunis seperti dirinya hari ini.
"Saya kini sasaran, tetapi ini tidak akan menghalang saya daripada melakukan tugas saya," katanya.
Sebelum ini, beliau terpaksa membatalkan pamerannya apabila poster digital Umno yang mendesak penyokong parti itu supaya ‘melawatnya’ di tapak pameran berkenaan di Beach Street menjadi tular.
Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, dijadual mempamer 50 lukisannya yang dimanakan sebagai "Ketawa Pink Pink", di Beach Street pada 30 Julai lalu.