Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Duta UAE lobi pinjaman 1MDB, terima AS$16 juta
Diterbitkan:  Aug 1, 2017 9:52 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Komunikasi e-mel yang bocor mendedahkan hubungan antara duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Amerika Syarikat Yousef Al Otaiba dan tokoh-tokoh utama dalam skandal 1MDB termasuk Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

Menurut e-mel Wall Street Journal (WSJ) yang didedahkan oleh Global Leaks menunjukkan Yousef menggunakan pengaruh diplomatiknya untuk memujuk bank-bank di UAE agar memberi pinjaman kepada 1MDB.

Laporan itu berkata Yousef pada September 2014 menggalakkan bank Abu Dhabi mengambil bahagian dalam pinjaman pembiayaan semula jangka pendek yang disusun oleh Deutsche Bank untuk 1MDB, dengan menyatakan ia adalah penting bagi hubungan UAE-Malaysia.

"Kami menghargai perhatian dan komitmen anda untuk menjayakan dan melaksanakan kemudahan ini," Yousef menulis kepada bank-bank berkenaan, berdasarkan e-mel yang bocor.

WSJ, yang telah meneliti e-mel tersebut, berkata teks itu sama dengan apa yang Eric Tan nyatakan kepada Yousef.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ menggambarkan Tan mempunyai kaitan dengan Jho Low dan prosiding mahkamah di Singapura mendedahkan bahawa Jho telah menggunakan nama "Eric Tan" bagi mendapatkan keperluan perbankan dan komunikasi.

DOJ ketika memfailkan saman sivil ketiga dalam skandal 1MDB mendapati sebanyak AS$ 700 juta daripada pinjaman AS$ 975 juta Deutsche Bank untuk 1MDB telah dialihkan, sebahagiannya digunakan oleh Jho Low bagi membeli barang kemas untuk model Australia, Miranda Kerr.

WSJ, yang memetik kertas siasatan Singapura, berkata syarikat British Virgins Islands (BVI) yang dikuasai oleh Yousef dan rakan perniagaannya, Shaher Awartani menerima sejumlah AS$ 16 juta sebelum dan selepas mendapat pengesahan.

Beberapa hari sebelum e-mel Yousef menyokong pinjaman Deutsche Bank kepada 1MDB, bayaran AS $ 3 juta telah dibuat kepada syarikat itu dan satu lagi AS $ 13 juta telah dibayar dua bulan kemudian, katanya.

Laporan itu berkata kedua-dua pembayaran itu berasal dari syarikat BVI yang dimiliki oleh Tan.

Bayaran AS $ 16 juta adalah selain AS $ 50 juta lagi yang diterima oleh syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Yousef yang WSJ dalam laporannya bulan lepas mendakwa berasal dari 1MDB.

DOJ mahu rampas hotel

WSJ, yang memetik satu lagi e-mel lain, berkata Yousef pada Disember 2009 juga menggesa jutawan yang juga pengasas Colony Capital di California menerima tawaran daripada pengendali hotel untuk membeli L'Ermitage Hotel di Beverly Hills.

Pengendali hotel itu sebahagiannya dimiliki oleh anggota keluarga Jho Low.

"Saya menghubungi anda hari ini untuk menyokong tawaran ini selaku duta UAE tetapi juga sebagai seseorang yang memahami beban entiti pelaburan utama adalah di belakang projek ini," tulis Yousef.

Syarikat pelaburan swasta Low akhirnya membeli hotel itu dengan nilai lebih daripada AS$ 45 juta pada tahun 2010.

DOJ kini berusaha untuk merampas hotel yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Laporan itu berkata e-mel itu termasuk perbincangan antara Yousef dan Shaher untuk membeli "barang mainan" selepas didakwa menerima "pemindahan dari Jho".

"Saya fikir kita berhak membeli 'barang mainan' yang bagus untuk merayakannya, apa yang anda fikir? 458 Italia mungkin?" Shaher didakwa menulis kepada Yousef, merujuk kepada Ferrari.

Bagaimanapun, Yousef menulis semula dengan mengatakan "barang mainan" sedemikian di Abu Dhabi "akan menarik perhatian yang tidak perlu", kata laporan itu.

Laporan itu berkata Yousef dan Shaher enggan mengulas lanjut.

Jurucakap Jho Low mendakwa e-mel itu menyediakan "gambaran yang berat sebelah dan tidak tepat".

WSJ berkata e-mel itu juga termasuk komunikasi dari Jho Low kepada Shaher apabila urus niaganya mendapat perhatian daripada pihak berkuasa AS, Switzerland dan Singapura.

"Perlu cakap kerana soalan ditanya. Mahu memastikan keselarasan, "Low didakwa menulis kepada Shaher dari alamat e-mel yang bergabung dengan pulau St Helena pada Mei tahun ini, menurut laporan itu.

Ia mengatakan e-mel itu juga menunjukkan bahawa seorang pegawai bank Credit Suisse yang mengendalikan kewangan Yousef dan Shaher pada tahun 2015 memberitahu kedua-duanya bahawa Jho Low mengarahkan supaya akaun bank mereka ditutup ketika pertanyaan mengenai sumber dana mereka.

Bank itu juga berkata Jho Low telah meminta mereka menjawab pertanyaan mengenai akaun secara peribadi dan bukan melalui e-mel.

Laporan itu berkata Yousef dan Shaher menutup akaun bank mereka beberapa minggu kemudian dan mengalihkan dana itu ke tempat lain.

[Baca berita asal]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS