Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tuntutan ke atas Sabah tidak harus jadi bahan politik

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengingatkan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk tidak membangkitkan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah sebagai bahan untuk “politik murahan".

Anifah yang juga Anggota Parlimen Kimanis berkata tuduhan oleh setiausaha agung parti itu Loretta Padua Jr bahawa kerajaan tidak mahu menyelesaikan secara muktamad tuntutan oleh Filipina ke atas Sabah adalah tidak berasas.

"Tuduhan ini adalah tidak berasas, provokatif, mengelirukan dan harus dikutuk sekeras-kerasnya,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar, semalam.

Anifah juga mengulangi pendirian kerajaan bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah adalah tidak berasas dan bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhannya pada 16 Sept, 1963.

Oleh itu, Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak mengenai Sabah,” kata beliau.

Loretta pada 28 Julai menuduh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein cuba mengalihkan soalan mengenai tuntutan itu, yang ditimbulkan oleh presiden parti, yang juga anggota parlimen Semporna Datuk Seri Shafei Apdal di Dewan Rakyat sehari sebelum itu dengan membangkitkan mengenai ancaman oleh kumpulan IS di rantau itu.

Anifah juga berkata sebagai anggota parlimen selama beberapa tahun, Shafie tentu mengetahui mengenai pendirian Malaysia berhubung isu tersebut.

"Pada masa yang sama, beliau juga tahu bahawa perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Menteri Luar dan bukan Menteri Pertahanan...dan respons berikutnya oleh parti itu rata-rata adalah percubaan untuk mengelirukan dan memperdayakan rakyat.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS