Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rapid KL sangkal dakwaan mesin token MRT rosak
Diterbitkan:  Jul 30, 2017 7:23 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Pengendali perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang baru dilancarkan, menafikan dakwaan beberapa mesin jualan token di stesen MRT Sungai Buloh rosak, menyebabkan pengguna terpaksa beratur panjang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid KL berkata semua mesin layan diri di stesen itu berada dalam keadaan baik dan orang ramai beratur panjang akibat peningkatan jumlah pengguna pada hujung minggu.

Keadaan itu telah menyebabkan beberapa mesin layan diri kehabisan token dan perlu diisi semula.

"Ini adalah hasil daripada lonjakan penumpang dan disebabkan oleh sambutan menggalakkan perkhidmatan MRT. Orang ramai datang dari luar Lembah Klang untuk menikmati pengalaman istimewa menaiki MRT.

"Kami sememangnya menghargai dan menghormati sokongan mereka yang luar biasa. Kami ingin merakamkan penghargaan tertinggi dan terima kasih atas sokongan," kata syarikat itu.

Syarikat itu juga menasihatkan pengguna menggunakan kad touch n go dan bukannya membeli token daripada mesin untuk mengelakkan mereka beratur panjang.

"Ia bukan hanya lebih mudah, malah menjimatkan penumpang juga. Lebih penting lagi, anda tidak perlu beratur di mesin dan menjimatkan lebih banyak masa. Jadi, gunakan sistem tanpa tunai," kata syarikat itu.

Terdahulu hari ini, anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyiarkan beberapa gambar di laman Facebooknya yang mendakwa orang ramai beratur panjang dan penumpang marah akibat mesin token dikatakan rosak.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS