Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid: Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty

Naib presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengungkit sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad yang berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, "Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."

"Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,"

"Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya hari ini.

A/l adalah singkatan kepada 'anak lelaki kepada' yang biasa digunapakai kaum India di negara ini, selain mereka yang berketurunan Orang Asal. Nama Kutty ialah satu nama dalam bahasa Tamil.

Nama Melayu menggunakan gelaran 'bin' atau 'binti', suatu istilah arab yang merujuk kepada anak lelaki atau perempuan kepada seseorang.

Bagaimanapun, dalam membuat kenyataan itu, Zahid mendakwa tidak membuat serangan peribadi dan menegaskan secara "kebetulan" beliau adalah menteri dalam negeri ketika menerima maklumat itu.

JPN berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sementara itu, Zahid membandingkan tempat mesyuarat Umno bahagian yang diadakan di dewan SMK Bandar Sunway itu dengan partinya.

Beliau berkata, sekitar 20 tahun yang lalu, dewan itu adalah dewan terbaik di Kelana Jaya.

Hari ini bagaimanapun, katanya, keadaan dewan itu panas dan pengap, silingnya memerlukan pembaikan serta dindingnya perlu dicat semula.

Namun, kata Zahid - bumbung, dinding dan tiang dewan itu- masih kukuh dan oleh itu ia tidak perlu diganti atau dirobohkan.

Beliau mengumumkan peruntukan RM400,000 untuk pengubahsuaian dewan berkenaan dan berkata ia akan dilengkapi sistem penyaman udara yang baru.

Begitu juga, katanya, Umno adalah parti terbesar sejak 70 tahun yang lalu, tetapi sejak itu telah beberapa kali hilang 'sinarnya'.

Sekali lagi, katanya, ini tidak bermakna BN dan Umno perlu ditukar.

"Kita hanya tukar mana-mana yang tak elok, kita perbaiki mana-mana yang tak baik […] Ertinya kalau kita tak lakukan sesuatu kepada BN dan Umno, kita akan terus panas," katanya merujuk kepada suhu dalam dewan dan ahli-ahli Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS