Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Rakan-rakan dari SUARAM, Otai Reformasi, Parti Sosiolis Malaysia, beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang merangkul Tun Dr Mahathir Mohamad dalam barisan kepimpinan.

Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda perubahan.

Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.

Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini.

Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin, yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat dan dihebah di media milik Umno-BN.

Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan HARAPAN berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana HARAPAN tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat.

Pada asasnya, HARAPAN adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH.

HARAPAN akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar, menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.

Muafakat inklusif HARAPAN memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama.

Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi.

Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah Umno-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil maha kaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang.

HARAPAN lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman. Penghayatan Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.

Perjuangan bersama

Pada hemat saya kehadiran Tun Dr Mahathir dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu) adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.

Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.

Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat. Struktur HARAPAN tidak boleh disamakan dengan BN. HARAPAN adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti.

Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.

Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung HARAPAN. Kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta sewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.

Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi HARAPAN dan menegur atau mengemukakan cadangan. Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14. Sistem pilihan raya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan.

Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya. Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai "penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara."

Selamatkan Malaysia

Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya; hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut dikhianati. Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar.

Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah licik mengaburi mata peneroka dan rakyat. Kecurangan berleluasa dan kerugian kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan selainnya terus dilindungi.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Umno-BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.

HARAPAN dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta.


DATUK SERI ANWAR IBRAHIM adalah ketua umum HARAPAN yang juga bekas timbalan perdana menteri.

Artikel ini pendapat peribadi penulis dan organisasinya dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS