Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong mahu Kementerian Dalam Negeri untuk mengkaji semula pengharaman terhadap sebuah buku oleh kumpulan pemimpin Melayu-Islam terkemuka G25, dengan alasan langkah itu adalah regresif.
Menurut Yong dalam satu kenyataan, pengharaman itu tidak selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan masyarakat berbilang kaum lebih memahami Islam sebagai agama keamanan dan kesederhanaan.
"Saya mempunyai buku itu dan setelah membacanya mendapati tidak ada artikel kontroversial tetapi artikel yang ditulis oleh ahli akademik yang dihormati, peguam terkenal dan sarjana Islam progresif.
"Saya tidak melihat sebarang elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, saya harap kerajaan akan mengkaji semula larangan itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Jun lalu meluluskan pengharaman buku bertajuk Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy.
Kerajaan mendakwa buku itu diharamkan atas alasan kedudukan Islam dalam perlembagaan yang disentuh dilihat memudaratkan ketenteraman awam.
Buku memuatkan siri beberapa artikel itu disiarkan kali pertama oleh Marshall Cavendish International (Asia) Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura pada Disember 2015.