ADS
mk-logo
Berita
Mubarak, UIA akan jalin kerjasama sosioekonomi dengan Muhammadiyah

Malaysia akan mewujudkan satu hubungan kerjasama sosioekonomi dengan sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Muhammadiyah, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kerjasama itu akan dijalinkan antara Muhammadiyah dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) yang boleh mengeratkan lagi hubungan perjuangan  membina insaniah dan ekonomi antara kedua-dua buah negara.

Kerjasama dengan Muhammadiyah ini dilihat sangat berpotensi memandangkan wadah yang memperjuangkan  budaya, agama dan sosial pada zaman ini terlalu sedikit, katanya.

"Kita akan bulatkan kerjasama yang pratikal ini dengan segera dan kami akan berunding untuk memajukan program dengan membawa anak-anak muda serta mencari jalan untuk membuat kerangka kerja" katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Muhammadiyah Prof Dr Bahtiar Effendy di pejabat Muhammadiyah Pusat di Jakarta hari ini.

Turut serta dalam rombongan itu Presiden Mubarak Tan Sri Aziz Abdul Rahman dan Pengarah Komunikasinya Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman.
        
Rais berkata Muhammadiyah adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikagumi kerana kemampuannya menjana pendapatan sendiri serta stabil dalam memberi khidmat masyarakat yang diterima oleh semua pihak sejak zaman sebelum perang.

ADS

Katanya kewujudan pertubuhan seperti Muhamadiyah adalah sangat diperlukan di seluruh nusantara kerana nilai-nilai kemurniaan di dunia hari ini sedang diancam.

"Nilai, ekonomi dan cara berfikir masyarakat telah terancam dan oleh itu hal-hal seperti budi perlu diperhebatkan dan prinsip-prinsip al-Quran perlu diadaptasi menjadi komponen-kompenan (kehidupan)," katanya.

Muhammadiyah didirikan oleh ulama tersohor Ahmad Dahlan di Jogyakarta pada 18 November 1912 dan kini pertubuhan itu mempunyai lebih 100 universiti serta lebih 1,000  sekolah, pondok pengajian Islam dan kolej profesional selain 74 hospital di seluruh Indonesia.

ADS

Semua institusi milik Muhammadiyah itu bertujuan memberi perkhidmatan amal jariah kepada gologan yang memerlukan.

Sementara itu, Bahtiar berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan institusi di Malaysia bagi memperluaskan perkhidmatannya ke peringkat antarabangsa.

Katanya Muhammadiyah yang telah kukuh di Indonesia sememangnya berhasrat untuk berkembang ke luar negara dan NGO di Malaysia dapat dijadikan sebagai jambatan untuk pertubuhan itu memberi perkhidmatannya di negara berkenaan.
       
- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS