Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: DFTZ rangsang inovasi berasas internet
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 3:41 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Zon perdagangan bebas digital (DFTZ) yang ditubuhkan oleh kerajaan akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan menambahkan perkhidmatan dalam talian dan digital untuk memudahkan e-dagang antarabangsa dan merangsang inovasi berasaskan Internet.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia juga bertindak ebagai tempat untuk menyokong syarikat-syarikat Internet menjalankan perniagaan barangan, menawarkan perkhidmatan, berinovasi serta mencipta penyelesaian bersama.

"DFTZ merupakan jendela e-dagang kepada dunia bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN dan gerbang pilihan pilihan bagi jenama dan pasaran global ke rantau ini.

"Objektif utamanya ialah untuk membolehkan PKS Malaysia mengeksport dan meletakkan negara sebagai hab serantau untuk logistik e-dagang," kata beliau dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-71 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Ipoh hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Najib berkata dalam persekitaran global yang pesat berubah, sektor swasta perlu lebih berdaya tahan dengan mengejar pelbagai strategi seperti meningkatkan kemahiran, inovasi, teknologi dan kreativiti, serta mengubah minda ke arah produktiviti yang lebih besar.

"Semasa bergerak ke arah produktiviti yang lebih tinggi, industri bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada rantaian bekalan, tetapi juga terlibat secara aktif dalam aktiviti pengeluaran nilai tambah yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik atau perkongsian teknologi," katanya.

Menurut Najib, Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi ekonomi maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 berdasarkan daya tahan dan pertumbuhan kukuh asas-asas ekonomi.

"Program transformasi nasional dan pembaharuan kita berjalan lancar dan telah menghasilkan kejayaan, selain struktur ekonomi yang dipelbagaikan.

"Kita telah mengekalkan inflasi dan pengangguran yang rendah. Kita hampir membasmi kemiskinan, mengurangkannya kepada hanya 0.6 peratus. Trend positif semasa kami didorong oleh kenaikan eksport dan pertumbuhan berterusan dalam sektor perkilangan," katanya.

Najib berkata Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.2 peratus tahun lepas dan 5.6 peratus pada suku pertama 2017, walaupun kelembapan ekonomi global, harga komoditi yang rendah, pasaran kewangan yang tidak menentu, harga minyak jatuh, dasar ekonomi berubah-ubah serta persaingan sengit di peringkat serantau.

"Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun ini daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus berdasarkan kepada pengurusan ekonomi yang bijak dan dasar kewangan yang baik.

"Kerajaan juga realistik dengan prospek pertumbuhan rasmi kita antara empat peratus hingga lima peratus, sejajar dengan pemerhatian dan ramalan yang dibuat setakat ini," katanya.

Beliau berkata statistik membuktikan bahawa pelabur asing telah menunjukkan keyakinan tinggi terhadap ekonomi Malaysia dan kerajaan akan kekal mesra perniagaan dan terus mengalu-alukan pelabur dari luar negara, khususnya di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, yang dapat membantu menggalakkan kemakmuran ekonomi negara-negara dalam rantau ini.

"Bagi perniagaan, inisiatif ini juga memperkukuh pertukaran budaya, pembelajaran bersama tentang tamadun yang berbeza dan memupuk keamanan dan pembangunan dunia," katanya.

Mengenai ACCCIM, beliau berkata persatuan itu telah menyaksikan peristiwa penting dalam sejarah Malaysia, dari masa penjajahan British hingga ke masa sebelum dan selepas kemerdekaan, dan telah memberi sumbangan yang hebat ke arah pembinaan negara, menggalakkan kemakmuran sektor perdagangan dan industri, selain terus memainkan peranan penting ke arah pembangunan ekonomi negara.

"Pembinaan negara tidak bermakna tanpa perpaduan nasional. Saya gembira melihat ACCCIM adalah rakan kongsi perpaduan kepada kerajaan. Presidennya, Datuk Ter Leong Yap juga merupakan antara duta perpaduan negara.

"Pelantikan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan aktif ACCCIM dalam menggalakkan perpaduan dan integrasi negara, menggalakkan usaha sama tulen dan kerjasama ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Ia juga melibatkan usaha memupuk perpaduan dan kefahaman mengenai budaya silang dan kerjaya melalui program latihan perpaduan, menubuhkan anugerah myhero untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah menghulurkan bantuan.

"Ini adalah teladan daripada perpatah lama orang Cina, bahawa anda membuat keuntungan dari masyarakat,  anda juga membuat sumbangan kepada masyarakat," tambah Najib.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS