Pembangkang percaya kerajaan akan menggunakan helah menakut-nakutkan pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, orang ramai tidak perlu bimbang kerana undi seseorang tetap rahsia dan kerajaan tidak akan dapat memastikan seseorang itu mengundi BN atau pembangkang.
Kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, tidak ada sebab untuk seseorang pengundi takut memilih pembangkang.
"Kita ingin beritahu semua pengundi supaya jangan takut mengundi, kerajaan tidak akan tahu parti mana yang anda undi, terutama bagi kakitangan beruniform yang mungkin menjadi pengundi awal.
"Mereka tak perlu takut undi mereka diketahui kerajaan dan mungkin dikenakan tindakan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat PERKASA di Petaling Jaya hari ini.
Dr Mahathir juga berkata ada kemungkinan juga kerajaan BN akan dikalahkan dalam PRU ke-14 nanti.
Oleh itu, katanya, mereka tidak lagi boleh mengambil tindakan ke atas pegawai kerajaan atau kakitangan beruniform yang mengundi pembangkang.
"Untuk tentukan BN kalah, pengundi mesti mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Kalau undi untuk HARAPAN banyak, kami akan menang dan kami tidak akan tahu siapa sokong kami atau tidak sokong kami.
"Tidak akan ada tekanan terhadap sesiapa. Jadi untuk keselamatan, amat penting pengundi buat keputusan jatuhkan kerajaan BN," katanya.
Ditanya mengenai tahap rahsia undi semasa menjadi perdana menteri dulu, Dr Mahathir berkata, keadaan adalah sama iaitu kerajaan tidak dapat mengetahui undi yang dipilih rakyat.
"(Oleh sebab itu) banyak orang yang berusuh dengan saya dapat jawatan, ramai yang jadi menteri," katanya.