Sekeping gambar seorang lelaki sedang mencari kerja dengan memegang kadbod di tengah panas matahari, menjadi tular di media sosial.
Ramdon Maseh, 45 memegang kadbod yang menyatakan dia sedang mencari pekerjaan sebagai seorang pemandu peribadi.
"Saya berusia 45 tahun, berpendidikan STPM, menepati masa kerja, jujur dan amanah menyimpan rahsia, pakar seni mempertahankan diri dan mengutamakan keselamatan majikan," tulisnya pada kadbod itu.
Seorang pengguna Facebook yang juga seorang wartawan, Syafiqah Damanhuri berkongsi gambar dan cerita mengenai Romdon.
Syafiqah berkata dia menyedari kelibat lelaki berkenaan berdiri di bawah terik matahari berhampiran lampu isyarat di Seksyen 7, Shah Alam.
"Sebagai wartawan, saya tak boleh ignore perasaan ingin tahu tu. Lalu saya berhentikan kereta, tanya dia.
"Rupanya dia tengah mencari kerja. Katanya dia kerja kilang, tapi pengurusan bakal kecilkan operasi," tulis Syafiqah di halaman Facebooknya.
Menurut Syafiqah, Romdon mengatakan ramai lagi pekerja di kilang lamanya akan dibuang kerja dan lelaki itu kini mencari kerja baru bagi menyara keluarganya.
"Kawan-kawan mohon sebarkan buat rezeki pakcik ini. Allahu.. besarnya pengorbanan seorang ayah dan susahnya nak mencari sesuap nasi untuk keluarga," katanya.
Malaysiakini tidak dapat menghubungi nombor telefon Romdon seperti yang tertera pada kadbod itu.
Bagaimanapun, seorang pelajar UiTM, Nur Tahirah Rosle yang turut berkongsi kisah lelaki itu berkata, Romdon kini telah mendapat kerja baru.
Status WhatsApp Romdon juga berbunyi: "Di tempat kerja".
"Selepas menghubunginya malam tadi, saya gembira untuk mengatakan Romdon telah menemui pekerjaan yang akan membolehkannya menyara keluarga dan anak-anaknya," kata Nur Tahirah ketika dihubungi Malaysiakini.