Tun Dr Mahathir malam tadi menyatakan rasa kagumnya apabila skandal 1MDB mendorong seorang pemimpin DAP - yang selama ini dituduh cauvinis Cina - memetik ayat al-Quran.
Kata Dr Mahathir, tanpa perlu berdakwah Lim Kit Siang memetik dua ayat daripada surah al-Baqarah untuk menjawab kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
"Saya terkejut, buat kali pertama Lim Kit Siang mengeluarkan ayat-ayat al-Quran untuk tunjuk kepada Apandi yang mungkin dia tak pernah baca.
"Ini adalah satu kejadian (menunjukkan) kita tak payah berdakwah dengan Kit Siang (untuk membaca al-Quran). Dia tunjukan kerana politik dan Apandi, dia (Lim) boleh baca al-Quran," katanya semasa berucap di majlis rumah terbuka hari raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Jalan Burmah, George Town Pulau Pinang malam tadi.
Pengerusi BERSATU itu mengulas reaksi balas Apandi terhadap kenyataan lebih awal dibuat Dr Mahathir mengenai beliau dan skandal 1MDB.
Kata Dr Mahathir pada 18 Julai lalu kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) - jika berjaya mengetepikan BN pada pilihan raya umum akan datang - akan menyoal siasat Apandi untuk memastikan tiada sebarang bukti berkaitan 1MDB disembunyikan.
Apandi kemudian menjawab tiada sesiapa yang beliay takutkan - termasuk Dr Mahathir - kecuali Allah.
Muhyiddin tahu siapa bohong
Peguam negara juga menegaskan tiada sebarang bukti jenayah berhubung skandal 1MDB disembunyikan seperti didakwa Dr Mahathir.
"Apa yang saya lakukan sebagai AG adalah berdasarkan fakta yang terkandung di dalam kertas siasatan," katanya.
Lim kemudian memetik ayat 42 dan 60 surah al-Baqarah untuk dirujuk Apandi.
Kata anggota parlimen Gelang Patah itu Apandi tidak sepatutnya menjadi peguam negara untuk sebuah kerajaan kleptokrasi jika benar-benar takut kepada Allah.
Tafsirah ayat ke-42 itu ialah: Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Ayat ke-60 al-Baqarah pula bermaksud: ... dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.
Sambutan rumah terbuka itu mendapat sambutan ramai dan turut dihadiri pemimpin parti komponen HARAPAN, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman, dan Pengerusi Parti Amanah Negara Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Kata Dr Mahathir memang jelas Apandi berbohong dan Tuhan tahu peguam negara itu berbohong.
"Bukan saja tuhan tahu dia berbohong, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) pun tahu Najib berbohong," katanya disambut gelak ketawa orang ramai.
Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menafikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku atau penyelewengan dana 1MDB.
Apandi juga sudah mengesahkan perdana menteri tidak terlibat dalam sebarang jenayah membabitkan pengurusan dana syarikat pelaburan milik kerajan itu.