Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Scorpene: Lagi 'pertuduhan' dijangka, kata NGO
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 6:29 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Pihak berkuasa Perancis dijangka mengenakan lebih banyak pertuduhan berhubung unsur rasuah dalam jualan dua kapal selam kelas Scorpene kepada Malaysia pada tahun 2002, dakwa NGO Suaram dan C4.

"Kami difahamkan oleh peguam Perancis kami bahawa beberapa lagi pertuduhan dijangkakan, sebelum siasatan selesai dan dibawa ke mahkamah secara terbuka," kata Pengarah Suaram Sevan Doraisamy dan pengarah C4, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pertuduhan mengikut undang-undang Perancis tidak sama dengan pertuduhan atau dakwaan yang difahami mengikut undang-undang Amerika Syarikat atau British.

Perancis mempunyai sistem mahkamah dua peringkat, dan menurut Gabriel, kes Scorpene berada pada peringkat pertama, di mana seorang majistret sedang menyiasat kes itu.

Apabila siasatan selesai, majistret berkenaan kemudiannya boleh mencadangkan pendakwaan ke atas mereka yang dituduh dalam kes itu.

Seorang pendakwa raya akan mengambil-alih kes yang dipindahkan dari majistret berkenaan ke mahkamah terbuka di mana perbicaraan akan diadakan.

Semalam dilaporkan bahawa dua bekas eksekutif kanan dituduh terpalit dengan dengan rasuah.

Agence France-Presse (AFP) melaporkan kedua-dua mereka adalah Phillippe Japiot, bekas ketua unit kapal dermaga laut Perancis DCNI dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua eksekutif firma pertahanan dan gergasi elektronik Perancis, Thales.

Adalah dilaporkan bahawa sumber juga memberitahu bahawa Japiot juga dituduh kerana "menyalah-guna aset sosial" dan Perrier untuk "terlibat dalam menyalah-guna aset sosial.

Dua lagi, termasuk bekas presiden Thales, bahagian Asia, Bernard Baiocco dan bekas presiden DCNI Dominique Castellan juga telah dituduh sebelum ini.

Sehubungan itu, Suaram dan C4 juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuka semula siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung skandal Scorpene.

Mereka juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - yang adalah menteri pertahanan semasa perjanjian itu dimeterai - menjelaskan transaksi tersebut kepada Parlimen.

Kedua-duanya berkata bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga harus ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Siasatan itu dimulakan pada tahun 2010, selepas aduan difailkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Perancis pada bulan November 2009.

Siasatan adalah untuk menentukan sama ada bekas presiden kumpulan pertahanan Perancis, Thales International Asia, membayar sogokan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui bekas rakan karibnya, Abdul Razak Baginda, untuk kontrak membekalkan dua kapal selam Scorpene kepada Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS