Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: PAS angkuh mahu tanding di Permatang Pauh
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 2:49 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

PKR kesal dengan tindakan PAS mengadakan program jentera pilihan raya di Parlimen Permatang Pauh pada Ahad lalu, kata naib presidennya, Tian Chua.

"Program PAS ini merupakan satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan rejim Umno-BN.

"Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS yang menganggap ia masih sebahagian daripada pihak pembangkang yang ingin mengalahkan Umno-BN pada PRU-14 kelak," kata Tian dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, Permatang Pauh merupakan kerusi yang sinonim dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan reformasi sejak pilihan raya umum 1999.

"Sejak itu, parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak 6 kali dalam pilihan raya umum dan kecil. Sudah tentu PKR sanggup mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri.

"Sekiranya PAS bersungguh-sungguh menentang korupsi dan kezaliman rejim Umno-BN, kepimpinan PAS harus menghentikan segala tindakan yang mencabar kesabaran parti PKR," katanya.

PAS pada 16 Julai lalu melancarkan jentera pilihan rayanya di Permatang Pauh dengan dirasmikan oleh Naib Presidennya, Idris Ahmad.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai nilai sentimental bagi PKR kerana ia merupakan kerusi yang ditandingi ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak berada dalam kerajaan.

Kerusi itu ketika ini diwakili presiden PKR yang juga presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas Anwar dihukum penjara lima tahun atas kesalahan liwat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS