Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan rancangan untuk memberi pengiktirafan bumiputera kepada masyarakat India Muslim di negara ini.

"Saya terima bahawa India Muslim ini sebagai bumiputera," katanya.

Bagaimanapun, menurut perdana menteri, kerajaan perlu mengkaji cara bagaimana pengiktirafan itu dapat dilaksanakan.

"Kita akan kaji dengan lebih mendalam lagi, sama ada dari segi pentadbiran atau pun dengan cara yang dikehendaki iaitu melalui pewartaan," katanya lagi.

Namun kata Najib pada hakikatnya masyarakat India Muslim di negara ini ialah bumiputera.

Beliau bercakap di majlis rumah terbuka hari raya anjuran beberapa pertubuhan India Muslim di Serdang, Selangor.

Terdahulu Presiden Persatuan India Muslim Malaysia (Permim), Dhajudeen Shahul Hameed, menyampaikan hasrat mereka untuk mendapat pengiktirafan bumiputera daripada kerajaan.

Dipuji membantu komuniti India

Komuniti India Muslim menjadi sebahagian daripada rakyat yang mendiami negara ini sejak berkurun lalu, malah kedatangan pedagang daripada kalangan masyarakat itu dari India turut menyumbang kepada penyebaran Islam di sini

Kata Najib masyarakat terbabit selama ini menjadi penyokong kuat BN dan menyeru keadaan itu diteruskan bagi membolehkan kerajaan menjaga mereka.

Kenyataan perdana menteri itu dibuat seminggu selepas beliau dipuji kerana banyak membantu komuniti India di negara ini berbanding pemimpin terdahulu yang "berdarah India".

Najib tidak menyebut sebarang nama namun kata-kata itu dipercayai merujuk kepada seteru politiknya ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang keturunannya berasal dari Kerala.

Sementara itu perdana menteri turut melancarkan kad diskaun istimewa yang didaftarkan di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Pemilik kad di kalangan orang kurang upaya berhak mendapat potongan harga sebanyak 20 peratus, manakala pelajar 10 peratus.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS