Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Umno Johor mula gelabah
Diterbitkan:  Jul 12, 2017 10:14 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

ULASAN | Saya agak tercuit membaca kenyataan-kenyataan dibuat Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap, dan Ketua Umno Segamat, Zahari Sarip, ekoran pelancaran trak kempen Bina Semula Negara di Johor Bahru pada Ahad lalu.

Saya memilih Johor Bahru sebagai persinggahan pertama dari 50 kerusi parlimen yang dimenangi tipis oleh Umno/BN dalam rangka kempen akar umbi yang memberi fokus kepada tiga isu paling penting kepada pengundi atas pagar, iaitu:

  • Kenaikan gaji yang tidak setimpal dengan kenaikan harga barang
  • Kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal
  • Lambakan pekerja asing yang dilihat menyempitkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sebagai negeri utama yang dijangka berlaku peralihan sokongan dari BN kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), sudah pasti kempen akar umbi menggunakan trak kempen Bina Semula Negara ini akan banyak singgah di Johor.

Selain Johor Bharu, trak dijadualkan singgah di Sembrong, Ledang dan Segamat/Sekijang dalam tempoh dua minggu lagi, selepas ke Perak/Pulau Pinang dan Kedah hujung minggu ini.

Maka saya tidak hairan jika Anuar dan Zahari antara tokoh terawal memberikan reaksi kepada kempen akar umbi yang saya mulakan ini.

Hal ini kerana kedua-dua kerusi parlimen yang mereka wakili (Sekijang dan Segamat) dijangka akan jatuh ke tangan HARAPAN.

Saya juga menghargai hak mereka untuk mempersoalkan apa jasa saya atau HARAPAN kepada rakyat Johor.

Seperti mana saya tidak melupakan jasa pimpinan Umno terdahulu (yang banyaknya juga dari Johor), saya juga tidak boleh mengetepikan begitu sahaja banyak kerosakan pimpinan Umno masa kini di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, hanya kerana Umno di masa lampau banyak berjasa kepada rakyat.

Sebab itu, begini jawapan saya kepada soalan Anuar dan Zahari tentang jasa saya serta HARAPAN kepada rakyat Johor:

  1. Saya dan HARAPAN tidak memperkenalkan GST yang menjadi punca utama kenaikan harga barang yang menekan rakyat Johor. Sebaliknya, jaguh GST yang menjadi bahan cemuhan di seluruh negara ialah seorang pemimpin Umno Johor iaitu Datuk Ahmad Maslan.
  2. Saya dan HARAPAN bukan kerajaan yang bertanggungjawab membiarkan kenaikan gaji bersih rakyat (baik pekerja sektor awam dan swasta) kekal rendah dan terkebelakang berbanding negara-negara serantau, sedangkan soal gaji inilah yang banyak menekan rakyat Johor sehingga berpuluh-puluh ribu memilih untuk bekerja di Singapura setiap hari.
  3. Saya dan HARAPAN tidak terbabit dalam dasar-dasar kerajaan yang menyebabkan lambakan pekerja asing sehingga menyempitkan peluang pekerjaan penduduk tempatan, seperti yang dirasai di Johor dan di seluruh negara.

Saya mendoakan persaingan yang sihat di kerusi-kerusi sengit di Johor seperti Segamat dan Sekijang yang menyaksikan PKR hampir menang dalam pilihan raya umum lalu.

Saya akan terus berkunjung ke kerusi-kerusi marginal seperti Sembrong, Ledang, Muar, Johor Bahru, Segamat, Sekijang, Pasir Gudang, Tebrau dan Batu Pahat di Johor yang saya yakin akan dimenangi HARAPAN dengan kempen yang tersusun di peringkat akar umbi.


RAFIZI RAMLI ialah naib presiden PKR merangkap anggota parlimen Pandan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS