Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan dalang Lahad Datu: TV3 pertahan laporan

Pengarang Urusan Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah memberitahu mahkamah, stesen televisyen TV3 mempertahankan laporannya yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serangan pengganas di Lahad Datu.

Keterangan Mohd Ashraf itu diberi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika disoal peguam Anwar, Datuk S Ambiga.

Kenyataan itu dibuat walaupun akhbar Utusan Malaysia - yang dilaporkan menjadi sumber laporan berita disiarkan TV3 itu - sudah menarik balik berita mereka dan meminta maaf kepada bekas timbalan perdana menteri berkenaan pada Oktober lalu.

Laporan berita TV3 yang disiarkan dalam slot Buletin Utama itu disiarkan pada 2 Mac 2013.

Anwar yang ketika itu menjadi ketua pembangkang didakwa menjadi dalang kepada serangan pengganas Sulu ke Lahad Datu.

Anwar kemudian memfailkan saman fitnah ke atas TV3 dengan menuntut sebanyak RM100 juta.

Mohd Ashraf yang menjadi saksi pembela ketiga, disoal balas oleh Ambiga hari ini.

Ambiga: Utusan Malaysia sudah tidak lagi mempertahankan laporan mereka, tetapi anda masih?

Mohd Ashraf: Ya.

Ambiga: Adakah anda mengambil tanggungjawab terhadap apa yang disiarkan TV3 tanpa mengambil kira penarikan balik Utusan?

Mohd Ashraf: Ya.

Ambiga: Berdasarkan persetujuan penghakiman, adakah anda tidak mempertimbangkan menarik balik laporan itu?

Mohd Ashraf: Tindakan Utusan Malaysia tidak memberi apa-apa kesan kepada kami. Pendirian kami adalah sama. Kami masih mengekalkan pendirian itu bahawa berita Utusan sudah disahkan dan ia adalah betul (pada ketika itu).

Ambiga: Artikel Utusan itu adalah palsu kerana ia menyalahtafsirkan apa yang dilaporkan oleh tiga sumber laporan tersebut.

Mohd Ashraf: Saya tidak bersetuju.

Tiga sumber yang dimaksudkan Ambiga itu ialah laporan agensi berita Reuters, Manila Post dan National Inquirer.

Namun tiada satu pun laporan berkenaan menamakan Anwar secara langsung sebagai dalang di sebalik pencerobohan berkenaan.

Dalam laporan itu, kata Ambiga, apa yang dinyatakan ialah seorang ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan Anwar didakwa bertemu salah seorang pemimpin pengganas terbabit.

Ambiga kemudian mempersoalkan bahawa laporan itu tidak menyebut Anwar sebagai dalang.

Menjawabnya, Mohd Ashraf berkata menurut kefahamannya laporan Utusan itu mengaitkan pengganas terbabit dengan Anwar.

Ambiga: Utusan Malaysia menyebut "kaitkan" tetapi anda menyatakan plaintiff sebagai dalang di sebalik tragedi berdarah Lahad Datu.

Mohd Ashraf: "Kaitkan" tidak bermakna dinamakan.

Ambiga: Apa yang anda katakan, dia (Anwar) bukan dalang?

Mohd Ashraf: Ya, begitu saya membaca laporan berkenaan.

Mohd Ashraf juga bersetuju dakwaan ke atas Anwar adalah serius tetapi berpendapat tidak ada keperluan untuk mengesahkan laporan berkenaan dengan pemimpin PKR itu kerana berpendapat pengarang lain sudah menjalankan tugas itu, selain ia diambil dari sumber yang dipercayai.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 10 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan dan menetapkan tarikh penggulungan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS