Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bangunan KSCIP Raja Salman akan di bina di P'jaya
Diterbitkan:  Jul 9, 2017 4:35 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Bangunan kekal Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) bakal dibina di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya di atas tanah seluas 16 hektar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam perbincangan beliau dengan pembantu kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan pembantu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman yang berkunjung ke kediamannya di Putrajaya malam tadi.

"Pembinaan KSCIP di Putrajaya ini melambangkan betapa pentingnya institusi berkenaan dan Putera Mahkota Arab Saudi sendiri akan datang ke Malaysia bagi melancarkan pusat itu bersama-sama saya.

"Ini antara kejayaan kita kerana Raja Salman boleh memilih negara lain untuk membina pusat berkenaan tetapi baginda yang merupakan penjaga kepada dua kota suci orang Islam tetap memilih negara ini," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan hari ini yang dihadiri lebih 50,000 rakyat.

Pada masa ini KSCIP beroperasi di Kuala Lumpur dan kerajaan diberi tempoh dua tahun untuk membina pusat operasi baru bagi KSCIP yang diilhamkan oleh Raja Salman semasa lawatan baginda ke negara ini, bertujuan menangkis pengaruh ekstremis dan aktiviti keganasan serta mempromosikan keamanan sejagat. 

Tak perlulah nak selamatkan M'sia

Dalam ucapannya, Najib meminta rakyat agar tidak gusar dan musykil dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan kerana ia dilakukan untuk kebaikan mereka dan negara ini. 

"Apa yang kita lakukan bukan hanya mendapat sambutan tetapi juga memperoleh sanjungan dan pengiktirafan daripada negara lain termasuk kerajaan Arab Saudi sendiri.

"Sebab itulah tidak benar kalau pembangkang kata negara ini sebuah negara gagal dan perlu diselamatkan. Sebenarnya kita telah selamat dan berjaya serta dapat pengiktirafan daripada negara luar. 

"Malah orang yang kata negara perlu diselamatkan... yang dulunya pemimpin kita pun tidak pernah mendapat sanjungan sebegini daripada negara berkenaan. Jadi tidak perlulah nak selamatkan Malaysia," katanya.

Perdana Menteri turut mengesahkan kuota haji tambahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia dikekalkan manakala rundingan tentang pembinaan dua kompleks Tabung Haji di Mekah dan Madinah masih dijalankan. 

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata jika kompleks terbabit dibina, ia akan mengurangkan kos umat Islam negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada masa depan. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan telah membelanjakan RM3 bilion dalam melaksanakan lima pakej bantuan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan yang memanfaatkan 9.6 juta rakyat.

"Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan beras kepada penjawat awam dan pesara, pemberian dividen kepada pekebun kecil, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kedua kepada tujuh juta penerima dan juga pembayaran insentif raya.

"Inilah usaha kita yang bukan hanya mementingkan pembangunan fizikal tetapi kesejahteraan dan kebajikan rakyat pun kita jaga. Kalau dahulu orang kata bantuan kerajaan hanya di luar rumah, sekarang ini sampai ke dapur pun kita berikan bantuan," katanya.

Najib juga menempelak pembangkang yang memainkan sentimen Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal, kerana kata beliau kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pembangunan Malaysia berada pada landasan yang tepat.

Sebagai bukti, Perdana Menteri merujuk pada kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini dan eksport Malaysia yang melonjak kepada RM80 bilion yang merupakan sejarah baru negara selain harga minyak negara yang merupakan ke-10 paling murah di dunia.

“Jadi kita mestilah melahirkan kesyukuran dan jika kita terus memberikan sokongan serta dorongan kepada kerajaan yang ada hari ini, saya yakin kita boleh menempa masa depan yang lebih cemerlang untuk negara kita," katanya.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS