Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam adakan EGM bincang pelantikan hakim
Diterbitkan:  Jul 8, 2017 8:38 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Badan Peguam Malaysia akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman yang dianggap mereka "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Ia membabitkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.

"Badan Peguam Malaysia berpandangan pelantikan Md Raus dan Zulkefli masing-masing sebagai hakim tambahan dan terus memegang jawatan ketua hakim negara serta presiden mahkamah rayuan sebagai (langkah) melanggar perlembagaan secara terang-terangan.

"Majlis Peguam Malaysia semasa mesyuarat bulanannya hari ini memutuskan untuk mengadakan EGM bagi membincangkan pelantikan berkenaan," kata Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varghese, dalam satu kenyataan hari ini.

Md Raus dan Zulkefli berdepan persaraan wajib mengikut perlembagaan akhir tahun ini iaitu pada usia 66 tahun enam bulan.

Bagaimanapun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelantikan hakim tambahan yang tidak dikekang oleh batasan usia, dan atas cadangan ketua hakim negara.

Lepasi tempoh persaraan

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dengan mengekalkan jawatan semasa untuk tempoh masing-masing tiga dan dua tahun.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga mempertahankan pelantikan itu dalam kenyataannya hari ini.

Sekurang-kurangnya dua pesara hakim - termasuk bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad - berpendapat tindakan itu menyalahi perlembagaan.

Mereka berpendapat, pelantikan hakim tambahan itu hanya untuk hakim biasa mahkamah persekutuan dan tidak boleh digunakan sebagai 'jalan belakang' untuk menyambung tempoh perkhidmatan seorang ketua hakim negara, atau jawatan penting lain.

PMO berkata pelantikan Md Raus dan Zulkefli berdasarkan kepada saranan ketua hakim sebelum ini, Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac lalu.

Bagaimanapun pengkritik mempersoalkan sama ada Arifin mempunyai kuasa untuk mencadangkan pelantikan hakim tambahan untuk tempoh selepas persaraannya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS