Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau pihaknya berasa pelik apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti itu membuat pemilihan semula hanya selepas empat tahun.
"Setakat ini berdasarkan kepada apa yang kita baca dalam kenyataan (ROS) itu, kami rasa pelik sedikit kerana sudah mengadakan pemilihan semula. Itu sudah lamalah.
"Mengapa mereka mengarahkan DAP membuat pemilihan semula sekarang?" katanya pada sidang media di George Town, Pulau Pinang hari ini.
ROS awal petang tadi menyatakan DAP perlu mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semula kerana pemilihan pada 29 September lalu sebagai tidak sah.
Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
Bagaimanapun Mohammad Razin berkata ROS tetap menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini tidak berniat untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.
Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo pula berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan namun belum menerima surat rasmi daripada ROS.
"Saya harap ROS akan menulis surat secara rasmi supaya kami boleh melihat isu itu sebelum membuat keputusan lanjut.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata DAP beliau sendiri tidak tahu sama ada kandungan surat rasmi itu sama dengan kenyataan dikeluarkan hari ini atau tidak.
"Namun ini adalah tindakan serius dan DAP akan menanganinya dengan serius juga," katanya.
Menurut anggota parlimen Bagan itu, DAP juga akan mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur petang esok.
Parti itu juga akan mendengar semua pandangan anggota CEC dalam pertemuan berkenaan.
Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berakhir.
"Saya ingin menegaskan, keputusan akhir akan dibuat CEC. Memang kami tidak puas hati tetapi sama ada pemilihan baru akan dibuat atau tidak, ia bakal diumumkan esok berdasarkan kepada surat ROS," katanya.