Paling Popular
Terkini

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui wujud salah laku rasuah di kalangan anggota Polis Diraja Malaysia dengan orang awam.

Bagaimanapun, kata ketua polis negara, PDRM sentiasa berusaha untuk menanganinya termasuk melakukan tindakan drastik terhadap anggota yang terbukti bersalah.

"Rasuah di kalangan warga PDRM dan warga asing ini, saya tidak nafi ia berlaku. Memang saya tahu perkara ini wujud.

"Saya sebut (ketika syarahan) tadi, rasuah bukan hal yang mudah untuk diatas, tetapi percayalah kita akan sentiasa mengambil langkah yang patut untuk mengatasinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta syarahan perdana dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PDRM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kampus Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika sesi soal jawab, seorang peserta berkata ketika melakukan kajian ijazah peringkat doktor falsafah, kebanyakan orang yang yang ditemuinya mempunyai pandangan negatif terhadap PDRM.

"Antara komen paling lazim mereka ialah tentang pengalaman rasuah, (daripada) RM5, RM10, kepada RM2,000, RM1,000. Mereka ada imej negatif terhadap PDRM," katanya yang hanya memperkenalkan diri sebagai Norizan.

Khalid juga menceritakan pengalamannya menahan anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan terhadap warga asing tanpa kebenaran, seperti yang dilaporkan akhbar China Press pada 29 Jun lalu.

Menurut laporan itu, Khalid yang ketika itu memandu di sekitar Semenyih ternampak tiga anggota polis peronda memeriksa wanita pendatang asing wanita.

Sejak sekolah rendah

Beliau segera mengarahkan mereka menghentikan pemeriksaan itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PDRM.

Beliau kemudian menghubungi pegawai atasan mereka dan mengarahkan tindakan disiplin diambil, iaitu melakukan kawad senjata selama dua jam serta dipindahkan untuk menjaga kaunter pertanyaan selama sebulan.

Kata Khalid PDRM mengeluarkan arahan bahawa polis yang meronda tidak dibenarkan memeriksa warga asing secara rambang.

"Pemeriksaan perlu dilakukan secara terancang dengan kehadiran pegawai kanan. Ini antara langkah yang kita ambil (untuk mengatasi isu rasuah polis," katanya lagi.

Ketika ditanya berhubung kebimbangan seorang lagi hadirin yang memperkenalkan diri sebagai Muhammad Ali tentang penglibatan polis mengatasi jenayah, Khalid menyarankan agar pendidikan asas keselamatan dan bahaya dadah diberikan sejak di sekolah rendah.

"Pelajaran atau pendidikan asas perlu diberikan kepada anak-anak kita supaya kesedaran dibentuk diperingkat awal lagi.

"Saya masih berpendapat mata pelajaran kesalamatan lalu lintas dan bahaya dadah ini perlu dijadikan mata pelajaran asas diperingkat sekolah rendah," kata Khalid.

Tambah Khalid, masalah mat rempit dan kadar kemalangan yang tinggi di negara ini juga boleh diatasi melalui pendidikan di peringkat awal sekolah.

"Untuk makluman pada tahun lepas 7,000 orang terkorban di jalan raya.

"Kalau kita bandingkan dengan Australia yang jumlah kenderaannya lebih sedikit saja dari Malaysia - dalam dua bilion - tapi jumlah kematian di sana hanya sekitar 1,000 orang setahun.

"Jadi, saya rasa ada sesuatu yang tak betul dengan sistem kita dan saya rasa tidak ada jalan lain kecuali memberikan pendidikan sejak peringkat awal," kata Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS