Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teknik pancing elektrik sebabkan 261 rumah terbakar disiasat
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 6:27 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Pihak berkuasa akan menyiasat dakwaan teknik mencuri elektrik secara pancing yang dikesan sehingga menyebabkan 261 rumah terbakar di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di Tawau baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kaedah pendawaian haram itu bukan dilakukan oleh individu tetapi disyaki secara sindiket yang mungkin menjual elektrik kepada orang lain.

“Perkara ini akan disiasat… teknik ini luar biasa dan berani kerana menggunakan pancing untuk menarik elektrik ke rumah,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan kerja sehari beliau di Tawau semalam.

Sabtu lepas, 261 rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran mengakibatkan 1,960 mangsa terdiri daripada 1,141 rakyat tempatan dan 819 bukan warganegara tinggal sehelai sepinggang.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga bertanggungjawab dalam pengurusan bencana negara berkata bantuan persekolahan akan disalurkan kepada 270 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau turut menegaskan bahawa pembinaan penempatan di atas air tidak digalakkan selepas ini ekoran pelbagai masalah yang timbul termasuk kebakaran.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS