Paling Popular
Terkini

Dengan hanya bayaran RM1 untuk satu malam, golongan daif dan memerlukan boleh berlindung di rumah amal yang dibuka aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, hari ini.

Semasa pembukaannya, Kuan berkata, pada asalnya kediaman rumah teres dua tingkat itu dibuta untuk waris kepada pesakit yang datang menemari saudara-mara mereka di hospital.

Terletak di Taman Puchong Utama, pintu dua unit rumah berkenaan, kata Kuan, turut dibuka untuk sesiapa yang memerlukan seperti mangsa dera yang mencari perlindungan sementara.

"Ketika ini ada satu keluarga berlindung di salah sebuah rumah itu kerana rumah mereka terbakar malam semalam," katanya.

Lelaki yang kehilangan kediaman itu, menurut Kuan, tidak dapat berkata apa-apa ketika dinyatakan dia boleh menumpang sementara di rumah berkenaan.

"Dia cuma cakap alhamdulillah.

"Seseorang tidak perlu cakap terima kasih dengan perkataan, jadi mereka nyatakan dengan hati," katanya.

Tidak hanya itu, Kuan menjelaskan, sesiapa pun boleh menumpang di rumah itu selama mana yang diperlukan, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan serta bayaran RM1.

Sebagai menghormati sensitiviti semua pihak Kuan juga menegaskan rumah kebajikan itu adalah "halal" kerana tiada daging babi atau lembu boleh dibawa masuk.

Penghuni juga dilarang mengadakan hubungan seks di premis berkenaan.

Tak tahu nama sesiapa

Mereka juga dikehendaki memastikan rumah terbabit sentiasa bersih. Sebagai balasan, penghuni bebas menggunakan segala kemudahan yang ada dalam rumah itu.

Buat masa ini, selain perabot asas, rumah berkenaan juga dilengkapi televisyen, pemanas air serta barang dapur. Kemudahan lain seperti komputer dan wifi juga akan disediakan kemudian.

Kuan menegaskan, jika ada penghuni yang didapati melanggar peraturan ditetapkan, dia berhak untuk menamatkan penginapan mereka di situ.

Mengenai kemudahan barangan dapur, Kuan berkata, ia adalah sumbangan daripada lebih 200,000 pengikutnya di Facebook.

Katanya, mereka menghulurkan bantuan barang makanan serta keperluan bilik mandi beberapa hari sebelum ini.

"Pengikut saya di Facebook datang ke sini menghantar bantuan. Banyak beras, barangan dalam tin, syampu, sabun. Kami macam nak pergi perang," katanya bergurau.

Penyumbang itu, kata Kuan, tidak dikenalinya pun, malah mereka enggan dikenali.

"Saya cuma tahu nombor plat kenderaan mereka," katanya.

Pada masa sama, rumah RM1 itu, kata Kuan, masih menyasarkan waris orang sakit yang datang dari jauh dan tidak mampu menyewa bilik lebih mahal sementara saudara mereka dirawat di hospital.

Bantu selama-lamanya

Kuan mendapat ilham membuka rumah itu apabila mendapat tahu kesukaran waris pesakit yang terpaksa bermalam di dalam kenderaan kerana tidak mampu menyewa bilik hotel.

"(Sebagai contoh) apabila kamu sayang ibu atau bapa kamu, kamu mesti mahu ada dekat dengan mereka.

"(Tapi jika kamu tak ada tempat lain untuk menumpang) ini akan memberi kesan kepada kesihatan.

"Sebenarnya ini sangat emosional. (Kami) cuba menyediakan kemudaan yang selesa untuk tinggal sementara," katanya.

Rumah RM1 itu menyasarkan waris pesakit yang ada di hospital kerajaan,seperti Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Institut Kanser Negara (IKN).

Sesiapa yang memerlukan, mereka boleh mendapatkan kemudahan itu melalui unit kemasyarakatan hospital berkenaan.

Satu lagi pilihan lain ialah, mereka menghubungi sendiri Kuan melalui Facebooknya.

"Tiada orang perlu diisi, tiada dokumen diperlukan, cuma datang dan cuba.

"Kami tidak terlalu ketat dengan peraturan. Syarat yang perlu ialah kamu memang betul-betul memerlukan," katanya.

Kuan yang mengendalian program Kepolisan Komuniti Malaysia (CPM) berkata, dua unit rumah dua tingkat itu menyediakan tujuh bilik kesemuanya.

Kadar sewaan yang dibayar pula, katanya, ialah RM1,100 sebulan untuk setiap unit.

Kos penyelenggaraan bulanan untuk kedua-dua rumah itu pula, kata Kuan, dianggarkan RM4,000 sebulan.

Seorang ahli perniagaan, Paul Lim, didakwa akan membiayai kos berkenaan "untuk selama-lamanya".

"Kuan ialah kawan baik saya, dan saya yakin dia sangat ikhlas. Jadi saya cuba membantu," kata Lim pada sidang media tadi.

Lim juga menganggarkan mereka sudah membelanjakan kira-kira RM80,000 untuk menyediakan perabot dan kemudahan lain di situ.

Sementara itu Kuan yang turut mengendalikan perkhidmatan ambulans dan teksi 10 sen berkata, dia berharap dapat membuka sekurang-kurangnya lima lagi rumah RM1 menjelang akhir tahun ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS