Syarikat cari gali minyak dan gas luar pantai milik Sarawak akan memulakan operasinya dalam masa enam bulan lagi, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Katanya, Petroleum Sarawak (Petros), 100 peratus milik kerajaan negeri, akan bekerjasama dengan syarikat minyak nasional, Petronas,
Pengumuman itu dibuat ketika Sarawak menuntut royalti minyak yang lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan.
Bernama turut memetik Abang Johari, sebagai berkata, perkara berkaitan pelaburan awal syarikat itu masih dibincang, tetapi Petros akan memulakan operasinya dalam masa enam bulan lagi.
Beliau berkata keuntungan yang diraih akan dikongsi antara kerajaan negeri dan Petronas berdasarkan ekuiti.
Abang Johari berkata, sebelum ini, syarikat minyak dan gas dari Sarawak hanya terlibat dengan aktiviti minyak dan gas hiliran di Bintulu, dengan pelaburan dianggar berjumlah AS$2 bilion.
Petros, katanya, akan terlibat dalam aktiviti huluan cari gali minyak dan gas serta pengeluaran gas dan minyak di kawasan perairan Sarawak.
Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan tenaga profesional daripada kalangan anak Sarawak yang sudah terlibat dalam industri berkenaan, termasuk mereka yang kini bekerja dengan Petronas, Shell dan Murphy Oil.
“Kami ada anak Sarawak yang terdiri daripada jurutera dalam bidang ini dan ini akan memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk bekerja dengan syarikat itu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan holistik dan akan bekerjasama dengan Petronas untuk mencari gali serta mengeluarkan minyak dan gas di perairan Sarawak.
“Tiada gunanya menyalahkan orang lain. Kami perlu gerakkan inisiatif sendiri dan mempersiapkan diri kami untuk terlibat dalam industri ini,” katanya.
Sarawak, sebelum ini menuntut kenaikan royalti minyak dari lima hingga 20 peratus dan mahu ekuiti yang lebih besar dalam loji gas asli, tetapi menangguhkan rundingan berikutan harga minyak mentah global yang tidak menentu.