Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Burung paksa penerbangan Gold Coast-KL mendarat di Brisbane
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 9:43 AM
Dikemaskini: 1:56 AM

Penerbangan AirAsia dari Gold Coast, Australia ke Kuala Lumpur malam tadi terpaksa dilencongkan ke Brisbane apabila enjin pesawat udara itu dimasuki burung.

Dalam kenyataan dibuat di Twitter, AirAsia X berkata bangkai dua ekor burung ditemui di landasan kemudiannya.

Penerbangan D7207 membawa 345 penumpang dan 14 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Gold Coast pada jam 10.20 malam (waktu tempatan) dan mendarat dengan selamat di Brisbane pada jam 11.33 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benjamin Ismail, berkata syarikat itu mematuhi semua garis panduan keselamatan ditetapkan dan penumpang dibantu oleh kakitangan di lapangan terbang.

"Kami memuji profesionalisme juruterbang dan kru terbabit serta tindakan pantas mereka bagi memastikan keselamatan semua penumpang penerbangan D7207 sehingga pesawat itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Brisbane," katanya.

 

 

AirAsia X menyatakan syarikat itu sudah menghantar pesawat udara khas ke Brisbane untuk membawa penumpang ke Kuala Lumpur.

Katanya, pesawat udara itu dijangka tiba di Brisbane pada jam 5.10 petang ini (waktu tempatan) dan dijadual berlepas ke Kuala Lumpur sejam kemudian.

Sementara itu melalui media sosial ada enumpang mendakwa kononnya terdengar bunyi seperti letupan dari bahagian kanan pesawat udara itu kira-kira setengah jam sesudah berlepas.

"Berlaku letupan boom boom boom dan orang ramai mula menangis dan menjerit," kata penumpang dikenali sebagai Eric Lim di Facebooknya.

Seorang yang lain memuat naik rakaman video kapal terbang itu selepas ia mendarat di Lapangan Terbang Brisbane.

Calvin Boon pula berterima kasih kepada kapten penerbangan dan kakitangan pesawat udara itu yang bertindak profesional menangani keadaan berkenaan.

Insiden itu berlaku sembilan hari selepas pesawat udara AirAsia X yang dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik akibat masalah enjin.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS