Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir perlu kemuka bukti, jangan retorik – kelab Umno

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir diminta mengemukakan bukti bahawa kerajaan melarang penuntut Malaysia di luar negara untuk bertemu dengannya atau berdepan dengan risiko biasiswa ditarik.

Pengurusi Kelab Umno Luar Negara Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan yang menafikan dakwaan itu turut menggesa Dr Mahathir supaya tidak bersikap retorik.

"Saya tidak nampak bukti yang mengatakan bahawa kerajaan BN menghalang pelajar luar negara untuk tidak berjumpa pemimpin pembangkang...

“Kalau Tun M ada bukti, saya alu-alukan. Saya juga sendiri tidak bersetuju kalau tindakan itu diambil kerajaan BN.

“Kita rakyat Malaysia patut bersifat terbuka. Kalau ada bukti silakan, Kalau tiada bukti saya cadangkan supaya ia tidak diperbesarkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di PWTC.

Wan Md Hazlin turut berkata ketika beliau menuntut di luar negara, pelajar-pelajar dilihat bersikap terbuka untuk berjumpa dengan mana-mana pemimpin termasuklah BN mahupun pembangkang.

“Sebab di zaman kami di luar negara tidak pernah dihalang. Malah kita juga hendak berjumpa pemimpin pembangkang untuk memberi penilaian ataupun hendak menilai sendiri kualiti yang ada pada pemimpin.

“Kalau tengok dari segi syarat biasiswa, tidak ada dalam syarat kamu jumpa pembangkang dan tarik biasiswa. Jadi ini mungkin retorik yang kita tidak tahu mana datang.

“Jadi untuk mengatakan bahawa pemimpin BN tidak benarkan pelajar jumpa Tun M, saya rasa mungkin satu kenyataan yang tidak ada asas,” katanya.

Semalam Dr Mahathir melalui tulisan di blognya mendakwa pelajar Malaysia di luar negara diberi amaran agar tidak menemuinya atau berdepan risiko biasiswa ditarik.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) itu berkongsi pengalamannya di London ketika meraikan Hari Raya bersama pelajar Malaysia.

Kata Dr Mahathir, perkara itu berlaku disebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak takut kehadirannya akan mempengaruhi pelajar.

Dr Mahathir adalah pengkritik paling lantang Najib dan menuduh perdana menteri "mencuri" dana firma pelaburan negara 1MDB.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, sebelum ini mengemukakan tiga saman fitnah untuk merampas harta benda, karya seni dan aset yang didakwa dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.

Saman terbaru yang difailkan pada 15 Jun mendakwa AS$540 juta (RM2.31 bilion) digunakan untuk membeli antara lain, sebuah kapal layar AS$ 165 juta dan kalung berlian bernilai AS$27.3 juta untuk isteri "Malaysian Official No. 1" (MO1).

Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi perdana menteri menafikan sebarang salah laku.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan Najib daripada sebarang penyelewengan selepas siasatan dijalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS