Jijik memandang DAP tetapi mengapa tidak sejelik itu mengecam skandal 1MDB, kata seorang anggota parlimen mengenai sikap pemimpin PAS mengkritik Lim Kit Siang.
Menurut Hanipa Maidin, ada sesetengah pemimpin PAS "berhempas-pulas" mengeksploitasi kenyataan dibuat anggota parlimen Gelang Patah itu yang menyokong Datuk Husam Musa sebagai bakal menteri besar Kelantan.
Katanya, beliau pelik dan berasa ajaib kerana kecaman keras itu tidak pula dibuat terhadap dakwaan salah laku syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.
Sikap sama juga, kata anggota parlimen Sepang itu, tidak ditunjukkan pada pemimpin serta parti Melayu yang terpalit dengan skandal busuk dan hancing 1MDB.
"Apabila dibaca, lihat dan dengar kritikan mereka kepada Lim dan DAP, jijik betul mereka pandang DAP, tapi tak pula kita baca, lihat dan dengar kejijikan mereka kepada skandal 1MDB dan pemimpin serta parti melayu yang terpalit dengan skandal busuk dan hancing1MDB.
"Apakah mereka sudah dicabut deria rasa?" katanya hari ini.
Lim pada Khamis lalu menyatakan sokongan secara terbuka kepada Husam untuk dilantik sebagai menteri besar jika Pakatan Harapan berjaya mengetepikan PAS pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Husam adalah bekas exco kanan Kelantan, pernah menjadi naib presiden PAS dan suatu ketika dulu dilihat rapat dengan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagaimanapun Husam diketepikan sedikit demi sedikit oleh kumpulan tertentu dalam PAS sehingga akhirnya dipecat kerana kerap mengkritik parti.
Dulu peluk Abdul Hadi
Beliau kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan dilantik sebagai seorang daripada naib presiden parti itu pada awal April lalu.
Ekoran kenyataan Lim itu sesetengah pemimpin PAS menganggap ia adalah bukti bahawa AMANAH adalah kuda tunggangan DAP - suatu dakwaan yang sering diulang-ulang parti berkenaan sejak awal lagi.
Menurut Hanipa DAP langsung tidak terbabit dalam skandal 1MDB namun disebabkan parti itu disokong ramai masyarakat bukan Melayu mereka kini dibenci PAS.
Pada masa sama Hanipa berkata, beliau berasa lucu kerana ada pihak terlupa suatu ketika dulu Lim yang sama pernah memeluk mesra Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa presiden PAS itu dilantik sebagai menteri besar Terengganu.
"Yang nak tergelak, mereka lupa masa Lim dan DAP ziarah presiden mereka semasa menjadi menteri besar Terengganu dulu, presiden mereka yang dok peluk YB Kit Siang... La ni peluk orang lainlah!" katanya.
Untuk rekod, PAS menjelaskan parti itu tetap menentang mana-mana amalan salah laku dan penyelewengan termasuk membabitkan 1MDB.
Pendirian itu ditegaskan sekali lagi oleh Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan hari ini.
Bagaimanapun PAS bertegas isu berkenaan perlu ditangani secara dalaman dan parti terbabit mengecam tindakan pihak tertentu - tidak dinamakan secara khusus - yang didakwa mengundang kuasa asing ke negara ini.
Nasrudin juga menyatakan PAS mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri bagi merealisasikan strategi dan road map perjuangannya, selain tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda sendiri.