Selepas dikecam ramai kerana mengaitkan campur tangan asing dengan isu 1MDB, PAS hari ini menjelaskan parti itu tidak pernah bersetuju dengan penyelewengan aau salah laku kerajaan.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata setiap amalan salah bertentangan dengan Islam yang diperjuangkan parti berkenaan.
"Justeru sejak awal lagi PAS tegaskan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasatkan dakwaan salah laku 1MDB secara menyeluruh, tidak berpihak dan telus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nasrudin, pihak yang berkenaan tidak boleh berlengah dalam hal berkenaan kerana ia boleh membawa padah dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan akan hilang.
"Tiada siapa boleh dilindungi. Yang salah tetap salah maka ia mesti diseret ke muka pengadilan walau siapa pun mereka.
"Lantaran itu, siasatan yang telus dan tindakan yang serius mesti dilakukan," katanya lagi.
Pada 24 Jun lalu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menulis surat terbuka menyatakan pendirian PAS terhadap campur tangan asing di negara ini.
Kata presiden PAS itu, ppa pun keputusan isu dalaman negara ini, biar mahkamah Malaysia atau 'mahkamah rakyat' menyelesaikannya.
"Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.
"Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita," katanya.
Beberapa hari kemudian Nasrudin pula mengeluarkan kenyataan mengecam pihak-pihak yang tidak dinamakannya sebagai "singkat akal" kerana "meronda" ke beberapa negara asing bagi membuat aduan berkaitan 1MDB.
Kerajaan jangan lembam
Kata Nasrudin, parti itu juga tahu ada pihak yang sengaja menjemput AS untuk campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia.
"Soalnya, apa motif mereka buat aduan di AS mengenai isu 1MDB? Kenapa singkat akal mereka, lapor hal negara kita kepada Amerika yang berlagak polis dunia itu?" katanya.
Anggota parlimen Temerloh itu juga berkias supaya jangan diundang beruang untuk "menampar nyamuk di muka kancil". Bagaimanapun tidak dijelaskan siapakah "kancil" yang dirujuk Nasrudin itu.
Kenyataan Abdul Hadi dan Nasrudin mendapat kecaman ramai, selain dipersendakan kerana seolah-olah membayangkan pendirian PAS yang lunak dalam isu 1MDB.
Menurut Nasrudin, Malaysia mesti bersih daripada dakwaan skandal kewangan besar itu.
Katanya banyak skandal kewangan sudah berlaku di negara ini seperti Bumiputra Malaysia Finace (BMF), Perwaja Steel, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dagangan tukaran mata wang asing (forex) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
"Kita tidak mahu negara ini ditanda sebagai negara korupsi.
"Kerajaan mesti mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan waran bagi menahan siapa juga pihak yang enggan memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
"Jangan jadi kerajaan yang lembam dalam tindakan," katanya.
Pada masa sama, kata Nasrudin, presiden PAS mengemukakan peringatan tegas agar tidak ada mana-mana pihak mengundang atau membuka jalan kepada pihak asing khasnya AS untuk campur tangan.
"Soal mereka nak siasat apa yang berlaku berkait dengan hal ehwal negara mereka, biarkan mereka.
"Tidak perlu ada pihak kita terhegeh-hegeh membuka jalan masuk kepada AS kerana AS juga bukan pihak yang boleh dipercayai dengan lagak mereka sebagai polis dunia itu," katanya.